Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan yang baharu ditubuh untuk meneruskan pelaksanaan Generasi Penamat (GEG) secepat mungkin dengan mengharamkan sistem penyampaian nikotin elektronik (ENDS) sepenuhnya.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, ia susulan penggunaan ENDS akan menimbulkan masalah besar membabitkan penagihan dadah untuk generasi akan datang.

Mohideen.

“Sejak 2019 lagi CAP telah memberi amaran bahawa vape perlu diharamkan kerana mustahil untuk memantau beratus-ratus jenama e-cecair yang sah dan haram di pasaran.

“Malah, pihak polis dari Bukit Aman juga ada mengesahkan bahawa apa yang paling menakutkan mereka ialah e-cecair yang dicampur dengan dadah dijual secara terbuka.

“Sehubungan itu, kita gesa kerajaan perlu meneruskan pelaksanaan GEG secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, e-cecair dengan dadah terlarang boleh diisi dalam botol dengan label palsu dan adalah mustahil bagi kerajaan untuk memantau produk yang dijual oleh kira-kira 3,000 peruncit vape domestik.

DrugWatch mengakui sukar untuk menentukan apa yang ada dalam beribu-ribu e-cecair yang berbeza, juga dipanggil e-jus atau jus vape, yang dijual untuk e-rokok.

“Ada kemungkinan untuk memasukkan dadah terlarang tertentu seperti tetrahydrocannabinol (THC), cannabidiol (CBD) (kedua-duanya adalah ramuan dalam ganja), lysergic acid diethylamide (LSD), gamma hydroxybutyrate (GHB), dan ketamin dalam e-cecair,” jelasnya.

Tambah beliau, kerajaan tidak seharusnya naif untuk menganggap bahawa tiada pasaran gelap bagi e-cecair. -MalaysiaGazette