KUALA LUMPUR – Peniaga kekal positif terhadap situasi perniagaan walaupun terdapat tanda penyederhanaan pada suku tahun keempat 2022 dengan petunjuk keyakinan dicatatkan +3.2 peratus berbanding +4.7 peratus yang direkodkan pada suku tahun ketiga 2022.

Sektor perkhidmatan, industri serta perdagangan borong dan runcit menjangkakan prospek yang positif pada suku tahun keempat 2022.

Sentimen perniagaan dalam sektor perkhidmatan kekal menggalakkan dengan +9.2 peratus pada suku tahun rujukan berbanding +13.6 peratus pada suku tahun lalu.

Begitu juga, sentimen dalam sektor industri kekal positif dengan mencatatkan +3.7 peratus pada suku tahun keempat 2022 berbanding +6.6 peratus manakala sektor perdagangan borong dan runcit menjangkakan keadaan perniagaan yang bertambah baik dengan petunjuk keyakinan melonjak ke trajektori positif dengan +1.9 peratus daripada -5.8 peratus pada suku tahun ketiga 2022.

Tinjauan positif ini disokong oleh subsektor perdagangan runcit yang mana peniaga optimistik terhadap keadaan perniagaan mereka manakala sektor pembinaan merupakan sektor yang paling pesimistik untuk suku tahun berturut-turut dengan petunjuk keyakinan -29.2 peratus berbanding -24.9 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, 32.5 peratus pertubuhan meramalkan hasil kasar mereka meningkat pada suku tahun keempat 2022 manakala 29.5 peratus meramalkan sebaliknya dan seterusnya mendorong kepada imbangan bersih +3.0 peratus.

Pada masa yang sama, 38.0 peratus pertubuhan menjangkakan hasil kasar akan kekal sama. Pada suku tahun yang sama, 68.9 peratus pertubuhan menjangkakan bilangan pekerja mereka tidak berubah.

Sebanyak 21.8 peratus pertubuhan menyasarkan untuk mengambil lebih ramai pekerja, manakala 9.3 peratus menjangkakan pengurangan pekerja mereka seterusnya membawa kepada imbangan bersih positif +12.5 peratus.

Dalam tempoh enam bulan akan datang, Oktober 2022 hingga Mac 2023, jangkaan perniagaan kekal optimistik dengan imbangan bersih menyederhana pada +5.9 peratus berbanding +12.2 peratus sebelum ini.

Sektor perdagangan borong dan runcit meramalkan prospek perniagaan yang menggalakkan dalam enam bulan akan datang dengan imbangan bersih +10.6 peratus, meningkat daripada trajektori negatif.

Sektor perkhidmatan juga menjangkakan keadaan perniagaan yang lebih baik dengan imbangan bersih +30.8 peratus daripada +26.5 peratus yang dicatatkan sebelumnya.

Semua subsektor di bawah sektor Perkhidmatan meramalkan prospek positif untuk enam bulan akan datang di mana subsektor insurans, penginapan serta kesihatan menjadi subsektor yang paling optimistik.

Sebaliknya, sektor industri berubah pesimis terhadap prospek perniagaan untuk enam bulan akan datang berakhir Mac 2023 dengan imbangan bersih -7.9 peratus daripada +14.5 peratus.

Pada masa yang sama, sentimen dalam sektor pembinaan kekal negatif bagi Oktober 2022 hingga Mac 2023 dengan imbangan bersih -20.7 peratus berbanding -10.3 peratus. – MalaysiaGazette