Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu seorang penunggang motosikal yang memecahkan cermin kereta dengan menggunakan topi keledar selepas pemandu kereta itu membunyikan hon kerana penunggang motosikal tersebut melanggar lampu isyarat merah pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaludin berkata, polis terkesan klip video berdurasi 19 saat di aplikasi Facebook yang memaparkan kejadian berhampiran lampu isyarat Jalan Sekilau, Taman Tenaga, Cheras, di sini pada jam 8.30 pagi ini.

“Sehingga kini beberapa orang saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan dan kes sedang disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan siasatan terperinci sedang dilakukan berhubung kejadian ini.

“Siasatan polis mendapati, kejadian berlaku disebabkan suspek yang dikenalpasti sebagai seorang penunggang motosikal tidak berpuas hati kerana pengadu telah membunyikan hon kereta selepas melihat suspek melanggar lampu isyarat merah dan terus menggunakan helmet dan memecahkan cermin pintu sisi kereta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zam Halim berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast