Pasukan jurutera Rapid Rail akan terus memantau operasi LRT di laluan Kelana Jaya selepas gangguan petang tadi berjaya dibaik pulih jam 10 malam. Foto: Rapid Rail Sdn. Bhd.

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang mengalami gangguan pada jam 5.46 petang pulih malam ini.

Menurut kenyataan Rapid Rail Sdn.Bhd, kerja-kerja baik pulih komponen yang rosak akibat disambar petir telah selesai dijalankan dan operasi tren yang tergendala petang tadi di Stesen Kerinchi itu kembali normal.

“Setakat jam 10.00 malam, semua operasi tren yang melalui stesen LRT Kerinchi kini kembali beroperasi secara automatik dan normal di kedua-dua hala Laluan Kelana Jaya,” katanya.

LRT Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan teknikal pada jam 5.46 petang berikutan Sistem Keselamatan Hentian Kecemasan Pencerobohan Penumpang atau Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) yang aktif secara tiba-tiba disyaki disambar petir di Stesen LRT Kerinchi.

Insiden itu menyebabkan tren dari kedua-dua arah tidak dapat melalui kawasan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Perkhidmatan LRT Kelana Jaya alami gangguan akibat PIES disambar petir

Menurut kenyataan itu, pasukan jurutera akan terus memantau kestabilan sistem di kawasan terlibat.

Rapid Rail memohon maaf kepada pengguna di atas segala kesulitan yang dihadapi akibat gangguan khidmat LRT petang tadi. – MalaysiaGazette