SC Securities Commission Azam Baki SICDA
Bangunan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 26 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan Garis Panduan baharu Produk dan Perkhidmatan Pasaran Modal Islam (Garis Panduan ICMPS) yang akan menjadi sumber rujukan utama bagi semua tawaran produk dan perkhidmatan Pasaran Modal Islam (ICM) untuk pelabur sofistikated dan runcit.

Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif SC untuk mempertingkatkan lagi rangka kerja tadbir urus syariah untuk pasaran modal Islam.

Garis Panduan ICMPS menyatukan semua keperluan Syariah yang sebelum ini telah ditetapkan dalam pelbagai garis panduan termasuk Garis Panduan Dana Unit Amanah, Garis Panduan Dana Dagangan Bursa dan Garis Panduan Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai di bawah Rangka Kerja Serah dan Simpan (LOLA).

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata Garis Panduan ICMPS, yang berkuat kuasa 28 November 2022 menyediakan pihak berkepentingan yang berkaitan, sebuah pusat dokumen yang komprehensif mengenai prinsip dan keperluan syariah yang dipakai produk dan perkhidmatan ICM.

Garis Panduan ICMPS juga memperkenalkan bab baharu khusus untuk wakaf, sebahagian usaha SC untuk mendalami dan meluaskan ICM, pengenalan bab ini membuktikan ia merupakan pemboleh utama dalam memanfaatkan cadangan nilai kewangan sosial Islam untuk inisiatif Pelaburan Mampan dan
Bertanggungjawab (SRI).

Bagi tujuan ini, Rangka Kerja Dana Bercirikan Wakaf (WQ-FF) yang diperluas kini akan merangkumi dana tersenarai seperti Amanah Pelaburan Hartanah Islam (REIT) dan Dana Dagangan Bursa Islam (ETF).

Peluasan itu akan menyediakan lebih banyak pilihan kepada pengeluar produk dan pelabur bagi meluaskan pemilihan pelaburan dalam produk yang memperuntukkan semua atau sebahagian daripada pulangan mereka ke arah aktiviti yang memberi impak sosial melalui wakaf.

”Pengeluaran Garis Panduan ICMPS dan peluasan Rangka Kerja WQ-FF adalah sejajar dengan pembangunan industri dan keperluan pasaran. Inovasi penting untuk kekal relevan dan dalam mengukuhkan peranan Malaysia di barisan hadapan dalam kemajuan berasaskan pasaran syariah,” katanya. – MalaysiaGazette