Mohd Fadzli Mohd Ramly. Foto MUHD NA'IM, 18 SEPTEMBER 2022.

KUANTAN – “Nama dia (Mohd Fadzli Mohd Ramli) masih ada dalam kertas undi. Tiada perubahan. Sebaik pencalonan, nama tidak boleh diubah.

“Sekarang sudah tiada istilah tarikh diri. Once (sekali) sudah jadi calon, tak boleh tarik diri,” kata Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang, Datuk Zamree Hamli ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Parti Amanah Negara (Amanah) yang  mengambil keputusan memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohd Johari Hussain dalam pemilihan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) DUN Tioman pada 7 Disember ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Mohd Hatta Md. Ramli berkata, keputusan itu dibuat sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan peringkat negeri dan nasional yang dimeterai antara Pakatan Harapan (PH) dengan BN.

Menurut Zamree, tiada apa yang berubah di dalam kertas pengundian bagi PRU DUN Tioman.

Sementara itu, calon PH terbabit, Mohd Fadzli Mohd Ramli enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan pucuk pimpinan Amanah namun mahu terus bekerja keras untuk memastikan suara rakyat DUN Tioman didengari.

“Tidak mahu komen apa-apa. Akan terus turun untuk bantu rakyat,” ringkas jawapan diberikan Mohd Fadzli ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Namun, pesanan beliau kepada pengundinya supaya bijak memilih pemimpin yang akan mewakili mereka.

“Pilih pemimpin yang bekerja dan senang ditemui rakyat pada bila bila masa..,” tambahnya lagi.

Susulan perkembangan terbaharu ini, Mohd Fadzli turut memberitahu bahawa beliau masih bertanding sebagai calon PH di daerah terbabit.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Amanah beri laluan kepada calon BN di DUN Tioman