KUALA LUMPUR – DAP sepatutnya sudah meninggalkan Kerajaan Pakatan (PH) kerana semasa ia berkuasa penuh pun tidak berupaya mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
Inikan pula masih berharap pengiktirafan itu dibuat apabila PH masih memerlukan sokongan tambahan untuk menubukan kerajaan perpaduan, bidas Tan Sri Shahrir Samad.
Veteran UMNO itu turut mengingatkan bahawa kerajaan perpaduan ini bukan DAP yang punya.
”Entah apa nak cakap lagi!,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru.
Beliau mengulas ugutan DAP yang didakwa mencapai kata sepakat untuk meninggalkan kerajaan, jika UEC tidak diiktiraf.
“Kami tidak kisah tidak berada dalam kerajaan, ini prinsip asas, kami akan mendukungnya,” kata Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming melalui akhbar berbahasa Cina.
Beliau yang juga ketua DAP Perak berkata, menteri daripada parti itu tidak pernah mendiamkan diri, sebaliknya mereka berusaha membangkitkan isu itu dan ia tidak diuar-uarkan media. – MalaysiaGazette