Pengerusi Pakatan Harapan (PH, Datuk Seri Amirudin Shari bercakap kepada pemberita pada sidang media di bangunan Annex Selangor, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari tidak akan melayani sebarang tawaran khususnya jawatan menteri dalam pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Sebaliknya Menteri Besar Selangor itu mahu memberi tumpuan untuk memenangkan PH dalam mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada tahun hadapan.

“Setakat ini saya masih lagi utamakan untuk memastikan kemenangan PH dalam PRN Selangor ini.

“Jadi saya tak ambil peduli tentang posisi di pusat dan sebagainya. Kalau tanya (kepada saya), saya utamakan untuk kekal di Selangor.

“Fokus saya sebagai Pengerusi PH Selangor dan Menteri Besar, saya akan pastikan PH menang dan mendapat majoriti dengan kedudukan yang stabil sebagaimana yang kita capai tiga penggal lepas,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pra-Pelancaran aplikasi HalalSel anjuran Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor di bangunan Annex, di sini.

Hadir sama, Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Sebelum ini, pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk berkaitan pembentukan Kabinet baharu.

Istana Negara semalam berkongsi gambar yang menunjukkan Anwar menghadap YDPA buat kali pertama sejak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10, bagaimanapun tiada butiran lain dikongsikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast