Azrul Mahathir Aziz

BAYAN LEPAS – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz menafikan projek tambak laut di Pulau Pinang menjadi punca hakisan pantai di Sungai Batu dan Teluk Kumbar.

Sebaliknya, beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran mengesahkan selain fenomena ombak besar dan gempa bumi Indonesia dipercayai antara punca berlakunya hakisan tersebut.

Jelas Azrul, pada 2016 JPS telah membuat tembok penahan (retaining wall) bagi mengatasi hakisan di kawasan tersebut namun hanya membabitkan sebahagian lokasi disebabkan gerai di kawasan itu terlalu rapat antara satu sama lain hingga menyukarkan jentera masuk.

“Walaupun jentera tak boleh masuk, saya tempatkan batu-batu secara manual di sana bagi menghalang hakisan.

“Satu kertas kerja untuk sambungan retaining wall akan dibuat sebagai langkah penyelesaian jangka panjang dan kita harap peruntukan daripada kerajaan persekutuan memandangkan kos pembinaan itu berjumlah RM500,000,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Azrul, beliau sendiri ada membangkitkan isu tersebut dalam mesyuarat kemiskinan Kerajaan Negeri.

“Kita akan lakukan perbincangan semula dengan peniaga agar membolehkan jentera masuk bagi melakukan retaining wall termasuk mengalihkan bahagian struktur runtuhan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Azrul berkata, bagi kejadian hakisan pantai yang menimpa enam sekeluarga di Kampung Nelayan, Teluk Kumbar, pihaknya mendapati rumah tersebut terletak di atas rizab pantai dan tiada sesuai untuk diperbaiki.

“Dalam pemerhatian saya rumah tersebut tidak boleh dibaiki kerana struktur dapurnya di pasir pantai.

“Namun saya telah maklumkan kepada Samsuar (Hasshim) sekiranya dia nak pindah rumah saya dan Zakat Pulau Pinang akan bayarkan deposit selain LPNPP sedia bantu untuk dapatkan rumah untuk dibeli dengan syarat tertentu,” kata Azrul.

ARTIKEL BERKAITAN

Peniaga Sungai Batu, penduduk Teluk Kumbar bimbang ancaman hakisan pantai

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan peniaga di Kampung Sungai Batu, di sini, resah akibat dihantui ancaman hakisan pantai yang berlaku di sepanjang tebing berhampiran gerai mereka.

Keadaan itu menjadi lebih teruk apabila dua buah gerai yang mengusahakan perniagaan makanan serta minuman terpaksa menutup perniagaan selepas sebahagian gerai itu runtuh tiga hari lalu. – MalaysiaGazette