Syarikat Grand Oils & Fats yang berpangkalan di China.

KUALA LUMPUR – Grand Oils & Fats (Dongguan) Co. Ltd. GIHDG), yang berpengkalan di China adalah syarikat pertama di luar Malaysia yang memperoleh Piawaian Pensijilan Rantaian Bekalan Minyak Sawit Mampan Malaysia(MSPO SCCS).

Kejayaan syarikat itu adalah hasil usaha Institut Perkhidmatan Teknikal dan Penyelidikan Minyak Sawit Lembaga Minyak Sawit Malaysia (PORTSIM) China dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC).

”GIHDG telah dipersijilkan dengan MSPO SCCS sejak 21 Oktober 2022. PORTSIM China telah memulakan dan memudahkan sesi libat urus pada Disember 2021 yang menandakan permulaan pencapaian bersejarah ini,” kata Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

GIHDG ialah syarikat pemprosesan minyak makan dan salah satu peneraju industri minyak dan lemak berasaskan tumbuhan di China dan telah disahkan dan dianugerahkan Sijil MSPO SCCS oleh Bureau Veritas Certification (M) Sdn Bhd, sebuah badan pensijilan bertauliah di bawah Skim Pensijilan MSPO.

GIHDG kini boleh membekalkan produk yang diperbuat daripada minyak sawit yang dihasilkan secara mampan dengan yakin dan lebih dipercayai kepada pelanggan dan pengguna akhir mereka di seluruh dunia.

Piawaian MSPO melengkapkan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) 2030 terutamanya mengenai penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab, pekerjaan yang baik dan pertumbuhan ekonomi, kehidupan di darat, kebuluran sifar dan perubahan iklim.

Bagi memastikan piawaian tersebut mampu menangani pengeluaran yang mampan, termasuk kebimbangan seluruh dunia terhadap kepentingan menjaga alam sekitar dan sosial, MSPO baru-baru ini telah menjalani semakan dan kini dikenali sebagai MSPO 2022.

Platform MSPO Trace akan membantu rantaian nilai dengan menjejaki produk minyak sawit daripada sumbernya dan sepanjang rantaian bekalan,” kata Ahmad Parveez.

MPOCC adalah sebuah agensi bebas bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan pada Disember 2014 bagi mengendalikan Skim Pensijilan MSPO, bertanggungjawab mendapatkan pengiktirafan antarabangsa terhadap Skim Pensijilan MSPO, bagi membantu usaha dan komitmen industri sawit Malaysia, khususnya pekebun kecil, untuk menghasilkan minyak sawit mampan.

PORTSIM China ialah pusat penyelidikan dan pembangunan MPOB yang terletak di Shanghai, China yang menyediakan perkhidmatan kepada industri sawit Malaysia dengan meningkatkan pembelian minyak sawit Malaysia oleh China melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta pengkomersilan, serta menyediakan perkhidmatan teknikal kepada pelanggan minyak sawit Malaysia.

China, sejak dahulu lagi kerap memperoleh produk sawitnya dari Malaysia, statistik menunjukkan eksport produk sawit Malaysia ke China telah meningkat tiga kali ganda daripada 1.02 juta tan pada tahun 2000 kepada 3.13 juta tan pada tahun 2021. – MalaysiaGazette