Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Bagi peminat bola sepak, siapa boleh lupa aksi sepak gunting, Mohd. Hashim Mustapha ketika zaman kegemilangannya walaupun dia hanya bertubuh kecil.

Namun semua kini tinggal kenangan kerana malam tadi, dunia bola sepak tanah air dikejutkan dengan pemergian bekas pemenang anugerah Kasut Emas Liga Malaysia pada 1990, 1993 dan 1994 itu.

Allahyarham Mohd Hashim berusia 57 tahun meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian pada pukul 10.25 malam.

Sebelum ini, penyerang kebangsaan era 1990-an itu dilaporkan berada di dalam keadaan kritikal sehingga terpaksa ditidurkan berikutan keadaan jantung yang semakin tidak stabil akibat masalah komplikasi kecing manis.

Selain pernah beraksi bersama Kelantan, arwah juga pernah menyarung jersi Kedah FA, Johor FA sebelum mengambil keputusan untuk bersara.

Bersama skuad kebangsaan pula, Mohd Hashim mula menyinar dari tahun 1987 sehingga 1994 dan pernah beraksi sebanyak sembilan kali dan berjaya menjaringkan satu gol.

Selepas bersara dari menjadi pemain bola, pemain yang gemar menyarung jersi bernombor 10 itu memulakan karier kejurulatihannya bersama pasukan Kelantan bawah 21 tahun atau skuad presiden pada 2008.

Allahyarham kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai pembantu jurulatih Kelantan di zaman keemasan Kelantan yang dijenamakan sebagai The Red Warrior dari tahun 2010 sehingga 2015.

Berdasarkan laporan dari portal sukan Harimau Malaya, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Baung Ayam di Kelantan hari ini. – MalaysiaGazette