KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Pengeluaran Tempatan yang
mengukur harga barangan di pintu kilang terus menyederhana untuk mencatatkan 4.0 peratus pada Oktober 2022 berbanding 4.9 peratus direkodkan pada September 2022.
Peningkatan ini disumbangkan oleh indeks pembuatan dengan 7.3 peratus (September 2022: 8.1%), diikuti oleh indeks bekalan air (4.9%) dan bekalan elektrik & gas (1.2%), menurut Jabatan Perangkaan.
Pada masa yang sama, kenaikan dalam IHPR pengeluaran tempatan diimbangi dengan penurunan dalam indeks pertanian, perhutanan & perikanan (-18.2%) dan perlombongan (-0.5%).
Bulan ke bulan, IHPR Pengeluaran Tempatan naik 0.1 peratus pada Oktober 2022 selepas mencatatkan penurunan selama empat bulan berturut-turut dipacu oleh indeks perlombongan yang meningkat 5.0 peratus, diikuti oleh indeks bekalan air (0.7%) dan bekalan elektrik & gas (0.4%).
Di samping itu, indeks pertanian, perhutanan & perikanan turun negatif 2.0 peratus (September 2022: -5.3%) manakala indeks pembuatan turun negatif 0.2 peratus (September 2022: -0.7%).
Bagi IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan, indeks Bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya terus mencatatkan penurunan dengan negatif 8.7 peratus pada Oktober 2022 (September 2022: -6.4%).
Penurunan ini disebabkan oleh indeks bahan bukan makanan (-10.8%).
Selain itu, indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen meningkat 9.1 peratus pada Oktober 2022 (September 2022: 10.0%) didorong oleh kenaikan dalam indeks bahan api yang diproses & pelincir (19.7%), bekalan (10.2%) dan bahan & komponen untuk pembuatan (5.4%).
Indeks barang siap mencatatkan peningkatan 3.4 peratus (September 2022: 3.1%), disokong oleh peningkatan dalam indeks makanan pengguna siap (7.1%) dan kelengkapan modal (3.1%).
Bulan ke bulan, kesemua peringkat pemprosesan mencatatkan kenaikan pada Oktober 2022.
Indeks Bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya dan indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen masing-masing mencatatkan peningkatan 0.1 peratus.
Pada masa yang sama, indeks barang siap naik 0.3 peratus. – MalaysiaGazette