KUALA LUMPUR – Kasut berjenama mewah dipakai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan kurniaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dua tahun lalu.

Anwar memperjelaskan perkara tersebut selepas pemakaian kasut tersebut ditularkan di media sosial.

Beliau yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 Sabtu lalu menegaskan, tidak seharusnya penggunaan kasut berkenaan mendatangkan fitnah terhadap dirinya.

“Ia pemberian Tuanku Sultan Johor dua tahun yang lalu. Saudara nak persoal saya tidak mengapa, tapi jangan bawa naratif fitnah,” tegas Anwar membalas ciapan Naratif Rakyat di Twitter.

Anwar memakai kasut berkenaan ketika menerima kunjungan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah sempena lawatan khas baginda ke Malaysia pada 28 November lalu.

Kasut yang dipakai Anwar ketika menerima kunjungan Sultan Hassanal Bolkiah.

Pengguna Twitter itu mempersoalkan Anwar menggunakan kasut berjenama Major Loafer yang berharga lebih RM5,000 meskipun skeptikal apabila Anwar menolak penggunaan kereta rasmi berjenama mewah.

“Pung pang pung pang tolak S600 Mercedes, pakai chapal. Hari ni dah up gred ke kasut berharga lebih daripada RM5,500. Masyukk PM #KitaBoleh,” katanya.

Pada Ahad, Anwar memaklumkan beliau menolak menggunakan Mercedes S600 yang telah dibeli dan diperoleh Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menurut Anwar beliau akan menggunakan apa saja kenderaan sedia ada di pejabat bagi kegunaan harian.

Anwar menjelaskan langkah tersebut diambil kerana tidak mahukan sebarang perbelanjaan baharu dibuat ke atas beliau.-MalaysiaGazette