Amirudin Shari

SHAH ALAM – Masih terlalu awal untuk Kerajaan Negeri Selangor membuat perubahan kedudukan kerusi wakil rakyat Barisan Nasional (BN) daripada blok pembangkang kepada blok kerajaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya perlu menunggu pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Sebab itu saya katakan, pengalaman Tioman dan Padang Serai, lebih baik kita susun pembahagian kerusi sekarang berbanding kita susun kerusi ataupun kedudukan pembangkang (Dewan Negeri Selangor).

“Kalau ketua pembangkang sekarang rasa nak duduk sebagai penyokong kerajaan, tak jadi masalah, kalau dia rasa tak sesuai lagi jadi ketua pembangkang, tak ada masalah, kita serah kepada pembangkang untuk putuskan siapa ketua pembangkang baharu.

“Kita ada enam bulan sahaja, paling banyak sidang kita boleh datang satu kali lagi iaitu bulan Mac, maknanya kalau ada perubahan ketua pembangkang ia tidaklah begitu signifikan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pra-Pelancaran aplikasi HalalSel anjuran Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor di bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Semalam, Speaker, Ng Suee Lim berkata, kedudukan wakil rakyat dalam Dewan Negeri Selangor khususnya BN yang kini berada dalam blok pembangkang akan diketahui sehingga selesai pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Suee Lim berkata, setakat ini kedudukan Ahli Dewan Negeri BN masih kekal seperti sedia ada dan kedudukan mereka hanya akan berubah sekiranya beliau mendapat arahan daripada kepimpinan PH.

Dalam pada itu, Amirudin juga berkata, buat masa ini PH Selangor akan memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan pada tahun hadapan.

“Dalam tempoh enam hingga tujuh bulan ini, fokus kita kepada PRN harus diberi tumpuan dan paling penting formula satu lawan satu antara gabungan besar dengan gabungan lain,” katanya.

Katanya, sekiranya wujud kerjasama politik antara PH dan BN, pihaknya perlu memberi penerangan dan penjelasan kepada jentera dan akar umbi untuk memastikan gabungan dua blok politik itu memenangi PRN Selangor.

“Kita ada masa enam bulan untuk aturkan, mengumpulkan kekuatan, memberitahu anggota, memberitahu penyokong, dengan itu mereka akan nampak lebih jelas hala tuju.

“Kesepaduan dan keselarasan di antara negeri dan persekutuan itu akan bagi kemenangan moral dan model yang jelas kepada pengundi nak pilih macam mana,” katanya lagi. – MalaysiaGazette