Prof. Muhammad Yunus

SERDANG – Penerima Nobel Peace Laureate 2006, Prof. Muhammad Yunus telah menerima Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Perniagaan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada Majlis Konvokesyen UPM ke-46 Sidang 2, kelmarin.

Sumbangan Profesor Yunus dalam bidang ekonomi dan perniagaan telah diiktiraf oleh 10 buah negara memboleh beliau dipilih penerima pelbagai anugerah seperti Tun Abdul Razak Award (1994) dari Malaysia, World Habitat Award (1997) dari United Kingdom, Gandhi Peace Prize (2000) dari India, Petersberg Prize (2004) dari Amerika Syarikat dan Nobel Peace Prize (2006) dari Norway.

Profesor Yunus merupakan pengasas pinjaman mikro kredit kepada golongan tidak berkemampuan untuk memulakan perniagaan jangka panjang setelah Bangladesh mengalami krisis kebuluran pada tahun 1974.

Bertitik tolak dari situ, beliau mula mengembangkan mikro kredit yang merupakan pilihan terbaik untuk membasmi kemiskinan dengan menubuhkan Grameen Bank.

Beliau juga merupakan seorang daripada tujuh individu yang menerima Hadiah Nobel Peace, Pingat Kebebasan Presiden Amerika Syarikat dan Pingat Emas Kongres Amerika Syarikat.

Bagi pengiktirafan ini, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM akan mengupayakan beliau sebagai Pemegang Kursi Menteri Besar Selangor (MBI) untuk tempoh tiga tahun bagi membentuk kepimpinan dalam mengupayakan penyelidikan dan pengajaran dalam bidang pengurusan, perniagaan dan ekonomi.

Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) UPM, Prof. Dr. Bany Ariffin Amin Noordin berkata, kerjasama bersama Profesor Yunus itu secara langsung membantu UPM terutama dalam aktiviti perniagaan sosial serta program komuniti berdasarkan hasil kerja Yunus Social Business.

“Dengan adanya tokoh-tokoh sebegini mereka mempunyai pengalaman yang banyak serta pengalaman mereka boleh dikongsikan bersama fakulti dan universiti untuk memperkukuhkan pengajaran dan jaringan industri,” katanya.

Tambah beliau, dengan adanya jaringan bersama Tokoh Nobel Laureate secara langsung akan meningkatkan imej serta pembelajaran UPM dalam memperluaskan jaringan perniagaan sosial yang dapat dimanfaatkan pada masa akan datang.

Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampai ijazah kehormat kepada Mohammad Yunus dalam Majlis Konvokesyen UPM ke- 46 kelmarin. – MalaysiaGazette