Mahkamah Shah Alam

SHAH ALAM – Seorang Penolong Jurutera di Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Langat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Zabidi Zahari, 35, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Rozilah Salleh, selepas kertas pertuduhan dibaca ke atasnya, yang disabitkan kes di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut kertas pertuduhan, Zabidi sebagai ejen kepada JKR Hulu Langat di Bahagian Bangunan telah menerima rasuah sebanyak RM10,000 sebagai dorongan kerja pembaikan dan baik pulih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Perdana.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada 17 Mei lalu di sebuah restoran di Kampung Teras Jernang, Bandar Baru Bangi.

Tertuduh juga dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 oleh hakim dan diperintah supaya menyerahkan passport kepada mahkamah serta melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan setiap awal bulan sehingga tarikh perbicaraan.

Zabidi diwakili peguam, Mohd Baharuddin Ahmad Kassim, manakala kes itu dikendalikan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin.

Mohd Baharuddin meminta mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin memandangkan anak guamnya yang berpendapatan lebih RM3,000 sebulan terpaksa menyara isteri, tiga anak yang masih bersekolah, ibu dan ibu mertua.

Hakim Rozilah kemudian mengingatkan kepada penjamin bahawa wang jaminan akan menjadi harta kerajaan sekiranya tertuduh gagal hadir ke mahkamah untuk perbicaraan.

Jika disabitkan kesalahan, Zabidi boleh dihukum bawah seksyen 24(1) Akta SPRM 2009 iaitu penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan. – MalaysiaGazette