Amirudin Shari

SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) sedia berunding untuk  mewujudkan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor, tahun hadapan.

Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari berkata, bagaimanapun langkah itu hanya boleh dilakukan selepas pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan di peringkat Kerajaan Persekutuan dimuktamadkan.

“Kita ke arah perbincangan dengan rakan kongsi kita (BN) dan yang penting sebagaimana pilihan raya lepas, strategi kita ialah kemenangan, kalau ada persefahaman lebih baik.

“Kalau ada persefahaman (dengan BN), sudah pasti (kerjasama politik) sebab kita ingin meneruskan apa berlaku di pusat, pasti formula pusat itu ada nilai kestabilan, walaupun Selangor sudah cukup stabil.

“Tapi kita tidaklah besar kepala atau bersikap tamak haloba, kalau ada ruang perbincangan kita bincang. Maknanya saya sebagai pengerusi PH Selangor berharap kita dapat mengekalkan Selangor,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Pra-Pelancaran aplikasi HalalSel anjuran Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor di bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, di sini.

Hadir sama, Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, PH bagaimanapun sedia bergerak bersendirian jika kerjasama dengan BN dalam PRN Selangor akan datang gagal direalisasikan.

“Kalau terpaksa sendirian, kita sendirian lah, kalau dapat gabungan daripada rakan lain, mungkin boleh membantu kita di beberapa kerusi lagi.

“Kita terbuka untuk perbincangan kerjasama (dengan BN) dalam PRN akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette