Saarani Mohamad

IPOH – Kerajaan Perak tetap dengan pendirian tidak akan membekalkan air ke Pulau Pinang walaupun kerajaan negeri yang dibentuk ketika ini adalah gabungan antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan kerajaan negeri pada Mac lepas berhubung Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) kepada Pulau Pinang tidak akan dilaksanakan, adalah muktamad.

“Sama ada kerajaan BN atau kerajaan PH, ia berkaitan bekalan air di Perak ini sama ada mencukupi untuk kegunaan dalam negeri atau tidak. Ia bukan pasal kerajaan PH (menerajui Pulau Pinang) dan BN (menerajui Perak) sebelum ini.

“Ini kerana mana-mana kerajaan pun yang mentadbir, masalah kita di Perak ialah kapasiti air di Sungai Perak hanya mencukupi untuk kegunaan dalaman, apatah lagi apabila Perak akan kita bangunkan sebagai sebuah negeri perindustrian yang akan memerlukan air yang banyak,” katanya selepas melawat projek pembangunan penginapan pekerja berpusat (CLQ) di Asrama Murni, Persiaran Jelapang di sini hari ini.

Saarani diminta mengulas laporan sebuah berita portal baru-baru ini mengenai gesaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar Teh Lai Heng yang mahu kerajaan Pulau Pinang meneruskan rundingan pelaksanaan SPRWTS dengan kerajaan Perak yang kini ditadbir secara bersama oleh BN dan PH.

Teh berkata ia merupakan peluang keemasan untuk menjayakan projek SPRWTS yang tertangguh sejak 11 tahun lalu.

— BERNAMA