Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai ketika meninggalkan Istana Negara selepas selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mempersembah senarai barisan Jemaah Menteri di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 02 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan barisan jemaah menteri petang ini.

“Insyaallah saya akan umum jemaah menteri lewat petang ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat di Ipoh sebentar tadi.

Anwar berkata, selepas selesai pelantikan anggota jemaah menteri, beliau akan memanggil mesyuarat khas Isnin ini.

Dalam ucapan selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Muhammad Al-Fateh, Taman Jati, Ipoh itu, perdana menteri sekali lagi mengulangi janjinya untuk membentuk Kabinet kecil.

“Kita tidak mahu terlalu ramai menteri, kerana kita mahu jimat wang dan dana untuk dipulangkan kepada rakyat,” katanya.

Berita lanjut menyusul. – MalaysiaGazette