Persekitaran pintu utama Istana Negara.

KUALA LUMPUR – Barisan Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan dijadual mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, majlis angkat sumpah itu akan berlangsung pukul 3 petang esok.

Sejurus selepas majlis itu, beliau akan segera memanggil Jemaah Menteri untuk sesi perjumpaan khas.

“Saya akan mengadakan pertemuan khas dengan menteri supaya beberapa peraturan dan hala tuju dan kaedah baharu dapat diperkenalkan dengan maksud untuk memusatkan segala usaha dalam kerajaan,” katanya pada sidang media sebentar tadi.

Ketika berucap pada program Kenduri Rakyat di Masjid Muhammad Al Fateh di Taman Jati, Meru Raya, di Ipoh petang tadi, Anwar berkata, beliau akan memanggil semua yang dilantik pada  satu mesyuarat khas yang akan diadakan pada Isnin.

Mesyuarat khas itu antara lain untuk mengumumkan beberapa peraturan baharu.

Antara yang disebut oleh beliau termasuk berkaitan cara mengurus kementerian, selain cara mendampingi dan bekerjasama dengan penjawat awam.

Beliau juga membuat penetapan cara untuk ahli Jemaah Menteri membuat pengumuman berkaitan dasar, serta cara berbelanja agar tidak melebihi kadar sepatutnya. – MalaysiaGazette