Suspek, Chin Ngit Soon dibawa anggota polis ke mahkamah selepas disyaki terbabit atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga emas di Kompleks Mahkamah Kajang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 02 DISEMBER 2022.

KAJANG – Seorang jurukimpal didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki warga emas di kawasan parkir Aeon Big Bandar Tun Hussein Onn, minggu lalu.

Tertuduh, Chin Ngit Soon, 51, mengangguk faham sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Syahrul Sazly Md Sain.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Ngit Soon didakwa menyebabkan kematian terhadap Wong Kim Miew, 71.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan parkir pasar raya berkenaan di Batu 9, Cheras pada pukul 11.50 malam 25 November lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukum gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Husna Amran manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 10 Januari untuk sebutan semula kes dengan tiada ikat jamin diberikan. – MalaysiaGazette