Antara empat buah dapur hotel terkenal termasuk sebuah bertaraf empat bintang di Melaka yang diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) selepas pemeriksaan menemukan najis lipas, lalat dan tikus (LILATI) di ruangan dapur premis berkenaan.

MELAKA – Sebanyak empat buah dapur hotel terkenal termasuk sebuah bertaraf empat bintang diarahkan tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) selepas pemeriksaan menemukan bangkai lipas, najis lalat dan tikus di ruangan dapur premis berkenaan.

Pengarahnya, Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata, empat buah hotel terletak di sekitar pusat bandar itu adalah antara 40 dapur hotel yang diperiksa Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dan Unit Inspektorat dan Perundangan JKN dalam operasi Selasa dan Rabu lalu.

Menurutnya, penutupan empat buah dapur hotel itu dilakukan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana tahap kebersihan yang tidak memuaskan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, empat buah dapur hotel termasuk sebuah hotel bertaraf empat bintang ini serta dan tiga lagi hotel tiga bintang mempunyai najis lipas, lalat dan tikus di ruang kabinet dapur.

“Selain itu, sebanyak 14 lagi kompaun kesalahan dikeluarkan bernilai RM10,400 antaranya kerana tiada suntikan, tiada kursus pengendali makanan dan tidak memakai apron dan penutup kepala yang menjadi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Rusdi berkata, pihaknya juga melaksanakan pemeriksaan kebersihan persekitaran di dalam dan luar premis hotel bagi mencegah pembiakan jentik-jentik yang menjadi punca demam denggi.

“Hasil pemeriksaan, sebanyak lapan buah hotel didapati mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik menjadikan sembilan kompaun kesalahan bernilai RM4,500 dikeluarkan terhadap pemilik hotel,” katanya.

Datuk Dr Rusdi Abd Rahman

Tambahnya, JKN Melaka akan sentiasa meningkatkan pemantauan ke atas semua premis-premis khususnya hotel di sekitar negeri Melaka bagi memastikan pematuhan ke atas Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Ia termasuklah penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 dan kebersihan persekitaran hotel di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (APSPP 1975).

“JKN Melaka sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan awam dan sebarang aduan awam boleh disalurkan ke Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my,” katanya – MalaysiaGazette.