Jubah konvokesyen yang didakwa diterima pelajar sebuah universiti di Melaka.

MELAKA – Beberapa graduan sebuah universiti di Melaka mempersoalkan kualiti jubah konvokesyen yang didakwa seperti ‘plastik sampah’ walaupun membayar sewa sebanyak RM450 pada sesi konvokesyen 6 Disember ini.

Malah menurut mereka, kualiti jubah untuk Sidang 1 dan 2 yang diterima itu berbeza dengan Sidang 3 hingga 8 yang mempunyai hiasan lace atau corak seperti kebiasaan jubah konvokesyen mana-mana universiti di negara ini.

Isu jubah itu tular di media sosial dua hari lalu apabila ia dimuat naik seorang graduan wanita dikenali _aasyue di Instagram miliknya yang meluahkan kekecewaan dan meminta pihak universiti terbabit menjawab isu berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, kekecewaan itu turut dikongsikan bersama usahawan dan penyanyi rap popular, Caprice yang kemudian memuat naik perkongsian itu di Instastorynya.

Menurut _aasyue, kejadian itu amat mengecewakannya kerana terpaksa menunggu lama bersama graduan lain untuk majlis konvokesyen walaupun telah tamat pengajian pada 2020.

Bagaimanapun, situasi pandemik Covid-19 ketika itu tidak membenarkan sebarang penganjuran majlis seumpama itu.

“Punya lama tunggu untuk konvo, last-last kami dapat baju macam sampah, pelajar-pelajar junior yang baru graduated pun dapat (jubah) lawa-lawa.

“Hina sangatkah kami disebabkan kes Covid pihak U*i*el buat baju warna hitam macam ini (dan) jangan sampai kami tak hadir ke konvokesyen pada 6 Disember ini.

“Jika tak nak ganti balik baju graduated kami, sila ganti balik duit kami RM450,” tulisnya di Instagramnya yang turut mendapat komen graduan lain menyokong tindakannya itu.

Difahamkan, Istiadat Konvokesyen Ke-24 bagi Graduan Tahun 2020, 2021 dan 2022 akan berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini pada 6 hingga 8 Disember ini.

Sementara itu, usaha MalaysiaGazette mendapatkan komen daripada pihak universiti berkenaan namun masih tidak berjawab setakat pukul 2.45 petang ini. – MalaysiaGazette.