PETALING JAYA – Seorang lelaki yang disyaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita di Ara Damansara, di sini, diberkas di kawasan perumahan Petaling Jaya semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden yang berlaku berhampiran sebuah premis dobi di Ara Damansara pada jam 3.40 pagi Selasa lalu.

“Polis telah menjalankan siasatan sejurus menerima aduan mangsa sebelum berjaya mengesan satu video berdurasi 14 saat yang mempunyai kaitan dengan laporan polis mangsa yang telah tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan.

Video insiden itu yang tular di laman media sosial telah mendapat lebih 800 komen dan dikongsi 4,000 kali pengguna Twitter.

Menurut Ku Mashariman, bertindak atas laporan yang diterima, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menyerbu sebuah kawasan perumahan di Petaling Jaya dan menahan seorang lelaki yang disyaki melakukan gangguan seksual itu.

Tambah beliau, suspek yang diberkas jam 5 petang semalam itu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang pagi ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencabul kehormatan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana daripada dua hukuman itu jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette