Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mahu memastikan setiap usaha dan inisiatif yang diambil di bawah kementeriannya akan membawa kebaikan kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Ahli Parlimen Kapit itu menegaskan beliau adalah menteri untuk seluruh rakyat Malaysia dan bukan untuk rakyat Sarawak sahaja.

“Dengan pengumuman pembentukan Kabinet baharu di bawah Kerajaan Perpaduan ini juga, saya berharap setiap daripada kita dapat terus bergerak ke hadapan dan memberikan fokus dalam usaha memulihkan negara, terutamanya dari sudut ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Marilah kita mengetepikan segala perbezaan dan bersama-sama memberi tumpuan kepada usaha untuk membangunkan semula negara agar ia kembali ke landasan yang tepat dalam untuk kembali disegani di mata dunia,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Beliau turut menyifatkan pelantikan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebagai amanah dan tanggungjawab yang amat penting dalam membantu usaha Kerajaan Perpaduan meneruskan usaha pemulihan ekonomi negara, lebih-lebih lagi menjelang 2023 yang dijangka amat mencabar.

Alexander juga menyedari bahawa tanggungjawab itu datang dengan cabaran yang besar, namun beliau akan memberikan sepenuh komitmen dan usaha dalam memastikan kelancaran perancangan pentadbiran negara atas kapasitinya di Kementerian Kerja Raya.

Beliau memberi jaminan akan meneruskan polisi-polisi kementerian terdahulu yang terbukti berkesan di samping menambah baik dasar-dasar kementerian yang boleh membawa manfaat kepada rakyat dan negara.

“Saya juga akan terus menghormati peranan penjawat awam dari semua lapisan kementerian yang telah banyak menyumbang idea dan tenaga kepada kementerian ini. Kita akan terus bekerja bersama sebagai satu pasukan demi negara tercinta,” jelasnya. – MalaysiaGazette