Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Satu majlis mengangkat sumpah Senator Dewan Negara dijadual berlangsung di Parlimen esok.

Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berkata, majlis itu akan berlangsung pada jam 8.30 pagi.

“Senarai embargo pagi esok. Majlis jam 8.30 pagi,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Sementara itu, sumber Parlimen pula memberitahu, pegawai Dewan Negara telah diminta untuk melakukan persediaan bagi upacara berkenaan sejak awal pagi tadi.

Begitupun, Majlis Angkat Sumpah berkenaan hanya akan diadakan sebaik pengesahan sekiranya terdapat senator yang dilantik sebagai Menteri Kabinet selepas pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada jam 8.15 malam ini.

“Sebab jangkaan kalau ada senator.. tetapi kami diminta bersiap sedia sahaja.

“Angkat sumpah Senator dulu (jika ada) dan selepas itu baru boleh angkat sumpah sebagai Menteri Kabinet.

“Kalau ada senator diumum sebagai Menteri Kabinet, individu itu memerlukan mengangkat sumpah pagi esok.

“Kami terima arahan daripada pejabat Setiausaha Dewan Negara untuk bersiap sedia kerana Majlis Angkat Sumpah ini dikendalikan oleh mereka,” kata sumber itu. – MalaysiaGazette