Anthony Loke Siew Fook

PUTRAJAYA – Tidak ada seorang pun wakil dari parti MCA dan MIC dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketiadaan mereka sekali gus menolak spekulasi pelantikan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Datuk Seri M. Saravanan dalam barisan Kabinet.

Wee Ka Siong yang sebelum ini dilantik sebagai Menteri Pengangkutan dalam kerajaan Keluarga Malaysia manakala Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC memegang jawatan Menteri Sumber Manusia.

Sebaliknya, Anwar mengumumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan manakala, Ahli Parlimen Batu Gajah yang juga wakil DAP, Sivakumar Varatharaju dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia.

Anwar turut menggabungkan dua kementerian menjadi satu kementerian iaitu Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Kementerian itu kini dikenali sebagai Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang akan diterajui Nik Nazmi Nik Ahmad.

Secara keseluruhannya, Anwar mengumumkan 28 menteri dan majlis angkat sumpah jawatan akan berlangsung esok di Istana Negara pada pukul 3 petang. – MalaysiaGazette