Gambar hiasan.

GEORGE TOWN – Lanjutan daripada gangguan bekalan air berjadual di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua bermula semalam, sebanyak 35 kawasan di bahagian pulau pula mengalami masalah gangguan bekalan air hari ini.

Antara lokasi yang terjejas  di Gelugor, Jalan Sultan Azlan Shah, Batu Uban, Jalan Sungai Dua, Jalan Kampung Jawa, Kawasan Perindustrian FTZ/ FIZ, Jalan Tengah, Taman Pekaka, Jalan Aziz Ibrahim, Bukit Jambul dan Bayan Baru.

Selain itu turut terjejas, Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, Pulau Jerejak, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas, Persiaran Mayang Pasir, Taman Bukit Dumbar, Batu Maung, Teluk Kumbar, Bukit Gedung, Balik Pulau dan Jalan Tun Dr. Awang.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam kenyataan berkata, masalah teknikal ketika pengendalian injap di LRA Sungai Dua menyebabkan gangguan bekalan air di bahagian selatan Pula Pinang.

“Peningkatan tahap kekeruhan air mentah di muka sauk Lahar Tiang disebabkan insiden banjir di Baling juga turut memberi kesan kepada kerja-keria pembaikan.

“Justeru itu, PBAPP telah memutuskan untuk menangguhkan kerja-kerja penggantian injap di LA Sungai Dua dan menyambung semula bekalan air.

“Bekalan air di kawasan yang terjejas dijangka puli secara berperingkat mulai jam 12 tengahari ini,” katanya hari ini.

Untuk rekod, sebanyak 197,851 akaun air meliputi tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual bermula 2 hingga esok.

Daripada jumlah itu, sebanyak 24,615 akaun air akan mengalami tekanan air rendah manakala 173,236 akaun akan terputus bekalan air. – MalaysiaGazette