Temubual bersama Konsultan Pembedahan Ortopedik & Pakar Tulang, Dr Amir Adham Ahmad di Prince Court, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Teknik pembedahan Wide Awake Local Anaesthesia No Tourniquet atau WALANT mungkin agak asing bagi masyarakat di negara ini.

Namun sebenarnya teknik ini sudah digunakan oleh pakar-pakar bedah di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat, England, Perancis dan Kanada.

Ia merupakan pembedahan secara terbuka untuk kepatahan pergelangan sendi tangan yang pertama di dunia di mana pesakit berada dalam keadaan sedar.

Bagaimanapun jangan terkejut kerana teknik pembedahan itu diasaskan oleh anak Malaysia iaitu Dr Amir Adham Ahmad.

Malah pakar bedah di Perancis telah menggelarkan teknik itu sebagai ‘Teknik Ahmad’ sempena nama ayah beliau.

Lebih membanggakan beliau merupakan lulusan universiti tempatan iaitu Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya dan memiliki Ijazah Sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ketika ini, nama Amir Adham tersohor dalam dunia perubatan teknik pembedahan itu kerana beliau sering dijemput sebagai penceramah antarabangsa bagi berkongsi pengalaman mengenai WALANT antaranya di Sepanyol, Kanada dan Perancis.

Beliau yang berusia 40 tahun juga dijemput untuk menulis 18 bab di dalam buku teks WALANT yang menjadi rujukan pakar bedah seluruh dunia yang berminat dengan teknik itu.

Temubual bersama Konsultan Pembedahan Ortopedik & Pakar Tulang, Dr Amir Adham Ahmad di Prince Court, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 OGOS 2022.

Berkongsi tentang teknik itu, Amir Adham berkata, WALANT adalah pembedahan sedar yang menggunakan bius setempat tanpa pembalut.

Jelas beliau, sebelum ini, pembedahan melibatkan kepatahan tulang biasanya memerlukan bius penuh dan pembalut untuk menghentikan pendarahan.

“Dengan teknik WALANT, pesakit akan sedar sepenuhnya tanpa sakit dan tanpa menggunakan pembalut kerana teknik ini hanya melibatkan bius setempat.

“Contohnya, jika ada kepatahan tulang di pergelangan tangan, bius hanya perlu diberikan di sekeliling sendi tangan.

“Sepanjang pembedahan, pesakit tidak akan merasa sakit kerana bius sudah diberikan di sekeliling tangan yang patah,” katanya ketika ditemubual MalaysiaGazette di Pusat Perubatan Prince Court di sini baru-baru ini.

Beliau yang merupakan anak kelahiran Kuala Lumpur itu  merupakan Perunding Pakar Bedah Ortopedik (Pembedahan Tangan & Mikro) & Pakar Bedah WALANT di pusat perubatan terkenal itu.

Mengulas lanjut, Amir Adham menambah, pembedahan yang boleh dilakukan dengan menggunakan teknik WALANT melibatkan segala pembedahan melibatkan tangan, kepatahan tulang kaki dan tangan serta rat kaki dan tangan.

Menurutnya, kelebihan teknik itu membolehkan pesakit tidak perlu berpuasa sebelum pembedahan selain menjimatkan kos pembedahan serta rawatan pemulihan lebih cepat untuk baik.

“Pada masa sama, pesakit boleh menjalani pembedahan-harian tanpa perlu bermalam di hospital.

“Malah, pesakit boleh berinteraksi dengan doktor sepanjang pembedahan di mana ia  membantu doktor untuk mendapatkan keputusan pembedahan yang terbaik untuk pesakit,” katanya.

Dr Amir Adham Ahmad di Prince Court, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 OGOS 2022.

Amir Adham komited untuk meneruskan minat penyelidikan dalam usaha meluaskan penggunaan WALANT pada kes di luar anggota badan atas kerana percaya manfaat teknik pembedahan itu melangkaui komuniti hanya pembedahan tangan sahaja.

Apa pun, pencapaian beliau adalah satu rekod membanggakan buat negara kerana ramai tidak mengetahui yang beliau dalam diam mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Sudah pastinya, beliau bukan calang-calang orang meskipun tiada sebarang publisiti melaporkan kejayaannya di media massa sebelum ini.

Tidak salah rasanya jika menganggap Dr Amir Adham sebagai ‘wira tak didendang’ yang boleh dijadikan inspirasi kepada generasi muda di negara ini untuk disegani di peringkat global. – MalaysiaGazette

Temubual bersama Konsultan Pembedahan Ortopedik & Pakar Tulang, Dr Amir Adham Ahmad di Prince Court, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 15 OGOS 2022.