Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz.

BAYAN LEPAS – Isu anjing liar dibeberapa kawasan perumahan sekitar Bayan Lepas telah dibangkitkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada minggu lalu.

Demikian jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz ketika diminta mengulas tindakan pihaknya menangani isu anjing liar yang mengancam keselamatan penduduk Pangsapuri Saujana Heights serta Pangsapuri Bayu Nyaman.

Azrul menyedari isu anjing liar merupakan masalah serius susulan pihaknya menerima banyak aduan berkaitan itu sejak kebelangkangan ini.

“Saya sendiri pernah dikejar anjing ketika menunggang motosikal di laluan pangsapuri Bayu Nyaman apatah penduduk serta anak kecil yang mendiami kawasan tersebut.

“Apabila terima aduan itu saya telah meminta bantuan daripada Jabatan Veterinar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan anjing yang mengigit lima orang mangsa di Saujana Heights telah pun ditangkap.

“Masih ada baki beberapa ekor anjing di Saujana Heights yang dalam proses tangkapan. Bagi Bayu Nyaman pula, meskipun tidak agresif atau menyerang mangsa tapi kita minta MBPP buat tangkapan kerana bimbang keselamatan kanak-kanak,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mengulas lanjut, Azrul meminta MBPP mengambil tindakan holistik memadangkan kini banyak anjing liar di kawasan perumahan.

“MBPP dakwa anjing akan dilepaskan selepas dimandulkan tapi saya rasa ia tidak wajar kerana bimbang ia masih mampu mengancam keselamatan  penduduk.

“MBPP juga kena beri penjelasan bagaimana nak kenal pasti sama ada anjing itu sudah dimandulkan atau tidak kerana tiada sebarang bar code selain itu mandulkan anjing hanya untuk putuskan generasi,” jelasnya.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan penduduk Pangsapuri Saujana Heights serta Bayu Nyaman dihantui ancaman anjing liar. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Anjing liar ancaman penduduk Bayu Nyaman