Mohd Na'im dilantik Menteri Agama di Jabatan Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Pelantikan Menteri Agama oleh Kerajaan Perpaduan semalam telah mendukung semangat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pelantikan itu dilakukan sebagaimana perubahan Peraturan KMI 2022 yang telah diperkenankan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-258 pada 9 dan 10 Mac lalu.

Hakimah Mohd Yusoff

Sehubungan itu, katanya, JAKIM selaku Sekretariat MKI yang mewakili seluruh saf pengurusan dan warga jabatan itu mengucapkan selamat maju jaya kepada Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama yang baharu.

“JAKIM menzahirkan rasa syukur dan ucapan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pengumuman dan pemilihan Dr. Mohd Na’im, mantan Ketua Hakim Syarie dan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) sebagai Menteri Agama dalam Kabinet pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Semoga Allah SWT sentiasa melimpahkan rahmat kepada YB Menteri serta sentiasa diberi kekuatan untuk menjalankan amanah ini dengan cemerlang,” katanya dalam kenyataan  hari ini.

Hakimah berkata, JAKIM juga mengucapkan syabas dan  tahniah kepada Dr. Mohd Na’im atas kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan terhadap beliau untuk mengetuai pentadbiran agensi hal ehwal Islam di negara ini.

“Kita yakin dan percaya dengan latar belakang serta pengalaman luas beliau dalam pentadbiran hal ehwal Islam akan mampu membawa hala tuju agensi agama ke arah reformasi pengurusan hal ehwal Islam.

“Ini selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan yang berpaksikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette