Bryan See. Foto Facebook Perak FC.

KUALA LUMPUR – Seperti pulang semula ke rumah kedua, penjaga gol yang semakin meningkat naik, Bryan See teruja kembali menyarung jersi Perak di pentas Liga Malaysia 2023.

Menurutnya, Perak sentiasa berada di dekat hatinya selepas memulakan karier bersama pasukan Piala Presiden negeri itu pada musim 2013.

Justeru, dia mengharapkan musim 2023 akan menjadi antara detik istimewa dalam kariernya bagi membantu Perak kembali bangkit dalam pentas Liga Malaysia.

“Saya rasa berbangga dan gembira kerana berpeluang sekali lagi mewakili Perak dalam karier saya sebagai pemain bola sepak.

“Perak mempunyai banyak makna untuk saya kerana mereka telah melamar saya pada 10 tahun lalu untuk bermain di Piala Presiden dan saya telah menemui ramai kenalan di sini.

“Perak adalah pasukan negeri pertama yang saya wakili dan harap yang terakhir dalam karier saya,” katanya.

Berusia 29 tahun, Bryan mempunyai pengalaman luas beraksi dengan beberapa kelab di Liga Malaysia seperti Melaka United, PDRM, Penang FC dan PKNP FC.

Selain itu, dia pernah bermain di Thailand bersama kelab Thai League 3, Bangkok FC pada musim 2019.

Dalam pada itu, Bryan percaya Perak mampu menghadirkan cabaran kepada pasukan lain di Liga Super di bawah kendalian Lim Teong Kim.

Dibarisi adunan pemain senior dan muda, beliau menjangkakan The Bos Gaurus boleh meraih sesuatu untuk dipersembahkan kepada peminat-peminat.

“Saya rasa kami boleh bersaing dalam Liga Super dan jika mampu menamatkan cabaran dalam kelompok atasan, itu sesuatu yang sangat membanggakan.

“Teong Kim berjaya mengumpulkan ramai pemain muda berbakat yang ada keinginan tinggi untuk berjaya.

“Saya sangat yakin jurulatih mampu mendapatkan yang terbaik dalam kalangan pemain-pemain muda tersebut pada musim ini.

“Mungkin ramai persoalkan pengalaman Teong Kim yang tidak pernah mengendalikan pasukan senior sebelum ini tetapi daripada perbualan awal, saya lihat dia ada kemampuan untuk menaikkan semula nama Perak di landasan sebenar.

“Beliau telah meletakkan satu aras yang tinggi kepada semua pemain senior dan kami tahu yang perlu menjadi contoh kepada pemain-pemain muda dalam menunjukkan sikap yang positif dalam pasukan,” katanya. – MalaysiaGazette