Poster filem Tamil tempatan, Gajen terbitan Veedu Production.

KUALA LUMPUR – Veedu Production tampil dengan filem Gajen yang mengisahkan seorang doktor muda hidup terlibat dengan konspirasi dalam bidang perubatan sehingga mengubah hala tuju kehidupannya.

Selain menonjolkan bakat Mathan sebagai pengarah, Veedu Production turut mengetengahkan pelakon India Selatan, Abhirami Venkatachalam dalam filem yang mula ditayangkan pada pertengahan bulan lalu.

Denes Kumar yang menerajui Veedu Production berkata, pelbagai rintangan dilalui dalam pembikinan filem yang dilakukan sebelum penularan Covid-19.

“Bila kita hendak promosi, kita terpaksa tempuhi cabaran lain seperti pembubaran Parlimen diikuti dengan Pilihan Raya Umum ke-15 di susuli sekali Piala Dunia 2022 selain berdepan tayangan filem-filem dari luar negara yang dibintangi pelakon dan pengarah ternama.

“Risiko itu tetap ada, sambutan tidak sehebat ketika tayangan-tayangan filem kita sebelum ini tetapi saya tetap akan memuji penggemar filem tempatan kerana sudah berminggu kita tayang dan kita masih ada penonton yang menonton beberapa sekali.

“Jika filem kita berkualiti tinggi, tidak kisah apapun ianya akan terus mendapat tempat di hati peminat filem kita. Bukan sahaja peminat tempatan tetapi yang di luar negara juga menunjukkan minat untuk menonton Gajen.

“Kita berharap selagi sempat filem ini masih lagi ditayangkan, ambil peluang untuk menontonnya bersama keluarga, sahabat sekalian,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

TS Dr Vimala Perumal dan Denes Kumar merupakan peneraju Veedu Production.

Gajen arahan  Mathan yang juga merupakan pemenang anugerah Filem Pendek SIIMA.

Filem tersebut turut turut dibintangi Jasmin Michael selain Denes dan Abhirami turut bekerjasama dengan pasukan dari India untuk pasca produksi.

Lagu-lagu dalam Gajen dinyanyikan oleh penyanyi terkenal dari India seperti Padma Bhushan K.S. Chitra dan Karthik.

Kata Denes, Veedu Production yang pernah mencipta sejarah dalam dunia perfileman tempatan Tamil dengan kutipan mencecah jutaan ringgit melalui filem Vedigundu Pasangge mengharapkan Gajen menyampaikan mesej yang relevan kepada masyarakat.

“Filem kita telah dirakam dalam kamera sinematik ARRI Alexa dengan peralatan canggih dan terkini perisian teknologi untuk pengeluaran maksimum dan kualiti visual dengan harapan kita juga mampu mencapai tahap perfileman ke tahap yang lebih tinggi.

“Kita tidak buat filem sekadar tangkap muat, sebaliknya visi, misi serta objektif kita adalah meletakkan bidang perfileman kita di pentas dunia, itu juga antara sebab mengapa filem Gajen ini memaparkan kolaborasi produksi tempatan dan luar negara,” ujarnya.

Secara amnya, cerita ini memaparkan plot cinta dan persahabatan boleh melonjakkan seseorang untuk mencapai kehidupan yang lebih baik.

Pada 2018, Vedigundu Passangge memegang rekod Kutipan Tertinggi Filem Tamil di Malaysia.  – MalaysiaGazette