DAP PH Najib
Najib Razak

KUALA LUMPUR – Pilihan yang ada kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap hukuman ke atas beliau bukan diberikan pengampunan diraja.

Sebaliknya beliau perlu diberikan peluang untuk mendapatkan perbicaraan yang adil pada 19 Januari tahun depan.

Pentadbir Facebook rasmi bekas perdana menteri itu berkata, dalam kes yang dihadapi Najib, beliau tidak disabitkan atas kesalahan mencuri atau merompak dana SRC.

“Najib didapati bersalah sebab dia pernah menyertai atau terlibat dalam sebuah mesyuarat Kabinet pada tahun 2011 bagi memberi jaminan kerajaan kepada SRC untuk meminjam supaya dia dikatakan menunggu 3 setengah hingga 4 setengah tahun untuk menggelapkan RM42 juta secara berperingkat pada akhir tahun 2014 dan awal tahun 2015.

“Semasa menjatuhkan hukuman, hakim kata ianya bukan hak Najib untuk sedekahkan dana RM42 juta tersebut,” katanya.

Pada 19 Oktober lepas, Najib berjaya mendapat kebenaran bagi permohonan semakan kehakiman kes SRC untuk menyemak jika beliau telah dinafikan haknya untuk mendapat pembelaan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan juga telah dinafikan proses perundangan yang adil.

Mahkamah Persekutuan telah tetapkan tiga hari bermula 19 Januari untuk mendengar rayuan Najib.

Menurutnya, terdapat enam perkara yang didakwa telah menafikan hak bekas perdana menteri itu untuk mendapatkan proses perundangan yang adil:

1. Permohonan Najib untuk memasukkan lebih 40 bukti baharu yang kukuh berkait secara langsung kepada kesnya semua telah ditolak. Satu bukti pun tidak pernah dibenarkan oleh mahkamah untuk dimasukkan dalam perbicaraan.

2. Peguam Najib dinafikan permohonan penangguhan kes untuk diberi tempoh yang munasabah bagi membuat persediaan yang wajar setelah mengambil alih kes dari peguam lain;

3. Peguam Najib tidak dibenarkan untuk menarik diri setelah permintaan penangguhannya ditolak dan mengakibatkan Najib dinafikan pembelaan pada peringkat mahkamah persekutuan;

4. Hakim mahkamah tinggi yang tiada pengalaman kes jenayah tetapi dipindah untuk mengambil alih kes SRC dari hakim sedia ada setelah perbicaraan berlangsung tidak isytihar bahawa dia mempunyai ‘conflict of interest’ apabila didapati bahawa dia pernah berurusan terus dengan SRC dan 1MDB ketika bekerja di Maybank.

Di bawah “Code of Conduct” Perlembagaan Persekutuan, hakim sepatutnya isytihar percanggahan kepentingan ini atau tarik diri dari kes.

5. Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas telah dua kali melanggar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 dan telah menolak segala cadangan dari Suruhanjaya Pelantikan Hakim supaya melantik hakim pilihan mereka pada tahun 2018 dan 2019 seperti dilapor dalam laporan pasukan khas terhadap buku Tommy.

6. Penghakiman bertulis mahkamah persekutuan sudah siap ditulis dan terbocor biarpun pihak pendakwaan belum selesai berhujah dan sebelum pihak pembelaan bermula membela.

“Sekiranya mahkamah bagi semakan kehakiman ini bersetuju bahawa perkara-perkara di atas benar-benar telah berlaku maka Najib berpeluang untuk dibebaskan serta-merta.

“Manakala kes SRC Najib berhak mendapati “mis-trial” iaitu pengguguran kes secara langsung ataupun “re-trial” iaitu perbicaraan semula di peringkat mahkamah tinggi di mana bukti-bukti baharu yang dipohon Najib akan dimasukkan dan diteliti,” katanya. – MalaysiaGazette