Pengguna jalan raya menghentikan kenderaan mereka dibahu jalan di Lebuh Raya Pasir Gudang susr ke Seri Alam ekoran banjir kilat. - Gambar media sosial.

JOHOR BAHRU – Hujan lebat sejak pukul 1 petang tadi mengakibatkan beberapa kawasan di sini dilanda banjir kilat.

Antara kawasan dinaiki air berlaku di Lebuh Raya Pasir Gudang susur ke Seri Alam, Jalan Masai Lama, Jalan Kampung Ubi dan di Jalan Pandan menuju Bandar Kota Tinggi.

Hasi perkongsian gambar menerusi  laman Facebook Community Roda Johor (CRJ) beberapa buah kenderaan di susur Seri Alam ‘tersadai’ dilihat menghentikan kereta masing-masing di bahu jalan.

Kejadian turut menyebabkan kesesakan lalu lintas dan beberapa kenderaan terperangkap akibat air yang naik secara mendadak.

Selain itu, Jalan Masai Lama juga antara lokasi yang dilihat dinaiki air hingga menyebabkan jalan di laluan itu mengalami kesesakan.

Sebahagian pengguna di laluan itu juga dilihat mula berkumpul di perhentian bas di Jalan Masai Lama kerana tidak mahu meneruskan perjalanan ke destinasi sepatutnya.

Baru-baru ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan sebanyak RM113.7 juta diperuntukkan untuk melaksanakan inisiatif penyelenggaraan sungai dan saliran bagi mengurangkan risiko kejadian banjir dan banjir kilat.

Beliau berkata, peruntukan tersebut akan disalurkan secara terus kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkuasa tempatan.

Sebanyak RM71 juta peruntukan disediakan bagi tujuan pengurusan banjir dan saliran meliputi kerja-kerja penggalian dan mendalamkan sungai, membina rumah pam air, pembersihan kolam takungan banjir dan sistem amaran awalan banjir.

Onn Hafiz berkata, sebanyak RM700,000 akan diperuntukkan bagi membeli pam bergerak untuk memudahkan operasi mengepam air banjir terutama di beberapa kawasan rendah yang sering dilanda banjir.

Katanya, berdasarkan semakan data terkini JPS, terdapat 432 hotspot banjir telah dikenal pasti di seluruh Johor. – MalaysiaGazette