Lim Kit Siang Parlimen PRU-15 Najib
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Kerajaan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengatasi masalah penyebaran maklumat palsu dan polarisasi di media sosial yang kini menjadi ancaman proses demokrasi berparlimen di negara ini.

Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, politik toksik penipuan, kebencian, syak wasangka, perkauman dan keagamaan tidak boleh dibiarkan terus berleluasa.

“Kita tidak boleh membiarkan kerana perkara ini boleh merosakkan demokrasi berparlimen di Malaysia dan menghumban negara kita ke arah menjadi sebuah negara gagal, berpecah belah dan kleptokratik,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kit Siang sendiri pernah menjadi mangsa politik toksik apabila dituduh bakal menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Namun beliau menambah, setelah tuduhan itu terbukti salah, penipuan dan fitnah-fitnah baharu telah direka untuk menuduh bahawa kononnya beliau kuasa sebenar dalam kerajaan PH selama 22 bulan dahulu.

“Kononnya Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Mohamad Sabu semuanya hanyalah boneka saya walaupun pada masa yang sama, saya dituduh sebagai pengkhianat kepada ‘bangsa Cina’ di hadapan orang Cina di Malaysia.

“Saya dituduh sebagai kononnya menerima RM1 billion daripada Dr. Mahathir untuk membenarkan dia menyertai dan mengetuai PH dan dituduh sebagai telah menerima RM1.2 bilion dari sumber di Israel untuk mempromosikan agenda mereka,” jelasnya.

Kit Siang memberitahu, terdapat juga pelbagai tuduhan lain yang mengatakan pelbagai bentuk kekayaan datang kepadanya untuk menjadikan beliau antara orang yang paling kaya di Malaysia.

“Tetapi, dana berbilion ini hanya wujud di alam politik toksik penipuan, kebencian, syak wasangka, perkauman, dan keagamaan yang ditunggang oleh pemimpin politik yang terdesak,” katanya.

Beliau berkata, pada PRU-15 pula, DAP sekali lagi difitnah sebagai anti Melayu dan anti Islam, dengan fitnah tambahan yang DAP kononnya komunis dan mempromosikan Islamofobia, dengan niat untuk mewujudkan syak wasangka dan kebencian perkauman dan keagamaan untuk merampas proses demokrasi di Malaysia. – MalaysiaGazette