Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) bersama Ketua Setiausaha Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar ( dua kiri) hadir ke pejabatnya pada hari pertama beliau memulakan tugas di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM,05 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Dasar-dasar baik yang direncanakan untuk Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini akan diteruskan, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menteri yang memulakan tugas hari pertama di KPT itu berkata, beliau memberikan jaminan bahawa dasar-dasar baik untuk sektor pendidikan tinggi negara akan tetap dilaksanakan.

“Perkara-perkara yang baik tentunya akan saya teruskan,” katanya kepada media di pejabatnya hari ini.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu memulakan tugas sebagai Menteri KPT hari ini dengan merakamkan kad perakam waktu pukul 12.15 tengahari tadi.

Mengiringi Khaled adalah Ketua Setiausaha (KSU) KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan dua Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU), Datuk Dr Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian (TKSU Dasar) dan Datuk Dr Mohd Zabri Yusoff (Pengurusan dan Pembangunan).

Ditanya mengenai visi dan misi beliau terhadap KPT, Mohamed Khaled berkata, banyak yang perlu difokuskan terutamanya selepas negara menghadapi pandemik Covid-19.

“Pada masa yang sama, saya juga sedar bahawa selepas Covid-19 ini banyak perubahan dan cabaran yang dihadapi oleh sektor pengajian tinggi negara.

“Maka sudah tentu kita perlu lihat bagaimana sektor ini boleh hadapi semua itu,” katanya.

Mohamed Khaled sebelum ini menghadiri mesyuarat pertama Kabinet di Perdana Putra bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi.

Biar pun pernah menerajui KPT sebelum ini, Mohamed Khaled mengakui beliau menghadapi cabaran tertentu kerana perubahan dasar dan kepimpinan dalam kementerian itu.

“Saya dengar dulu (taklimat daripada pegawai KPT) di mana kali terakhir saya berada di sini 2013. Walaupun diorang kata sireh pulang ke gagang tapi saya rasa banyak benda sudah berubah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohamad Khaled berkata, mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri pagi tadi memfokuskan kepada kaedah untuk menjayakan Kerajaan Perpaduan.

“(Mesyuarat Kabinet pagi tadi) Sebagai garis panduan perkara-perkara umum untuk menjayakan Kerajaan Perpaduan,” jelas Naib Presiden UMNO itu.

Untuk rekod, Mohamed Khaled pernah menjawat jawatan sama pada 2008 hingga 2013 dibawah pentadbiran Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Razak. – MalaysiaGazette