Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Satu tindakan undang-undang lebih berat perlu dikuatkuasa memandangkan kegiatan penipuan pelaburan kini didakwa menjadi lebih parah dari penyakit kanser dan dadah.

Setakat ini lebih 10,000 orang dikesan menjadi mangsa penipuan satu sindiket pelaburan dengan pakej jaminan insurans perlindungan membabitkan kerugian berjumlah lebih RM3 bilion, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

Sebagai mengukuhkan lagi dakwaan itu kira-kira 180 orang daripadanya tampil hari ini membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul mengaku mereka menjadi mangsa penipuan pelaburan dengan menggerakkan syarikat bernama ‘Zutello’.

Hishamuddin berkata, majoriti mangsa adalah Cina dan sindiket menyasarkan orang tua dan wang persaraan mereka untuk melabur dalam pelaburan menawarkan perlindungan insurans yang menawarkan pulangan dividen setinggi 17 peratus setiap bulan.

Katanya, PDRM melakukan siasatan dalam kes ini bagaimanapun mendapati bahawa sindiket penipuan ini masih lagi berluasa yang mana mereka mengambil kesempatan terhadap masyarakat menggunakan modus operandi menerusi pelaburan online diikat dengan sistem insurans sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) waktu Covid-19.

Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan bercakap kepada media selepas membuat laporan polis berkaitan kes penipuan pelaburan di IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 DISEMBER 2022.

“Ada dalam kalangan mangsa terdiri daripada warga emas yang keluarkan dan kehilangan wang persaraan mereka, menutup akaun dan menggunakan wang insurans dan keluarkan wang bagi menyertai pelaburan ini selain ada juga mangsa meminjam wang along semata-mata menyertai pelaburan palsu ini.

“Terkini dia memperdaya dan melabur wang mangsa dalam perjudian kasino di Genting Highlands dan jika kalah wang itu akan dilindungi dan dipulangkan menerusi insurans kepada mangsa.

“Kini kami mendapat tahu kini dia sudah tutup Zutello dan membuka platform baharu dalam bahasa Melayu atas nama ‘Solaris’ untuk menjerat mangsa baharu dalam kalangan Melayu dan India dan khuatir segala data peribadi mangsa-mana pelaburan Zutello digunakan di syarikat baharu penipuan itu,” katanya kepada pemberita di depan IPD Sentul selepas selesai membuat laporan polis di sini hari ini.

Hishamuddin juga menyatakan kebimbangannya sindiket itu akan berleluasa menjerat lebih ramai mangsa jika dibiarkan seperti kes Teddy Teoh yang pada peringkat awal menggunakan Island Red Cafe tapi diambil tindakan sehari penjara dan bayar denda kemudian dia memulakan pula program kedua bernama MBI sebelum melarikan diri ke Thailand dan kini dalam proses diekstradisi ke China.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bercakap kepada media selepas membuat laporan polis berkaitan kes penipuan pelaburan di IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 DISEMBER 2022.

Beliau mahu PDRM mengambil tindakan tegas kerana sindiket penipuan pelaburan berkenaan jika dibiarkan berleluasa akan menjadi kartel penipuan besar yang mensasarkan lebih ramai rakyat Malaysia kelak.

Sementara itu, seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Chia, 48, mengalami kerugian sebanyak RM500,000 selepas melabur melalui skim berkenaan yang diperkenalkan oleh rakan kenalan rapatnya.

Jelas ahli perniagaan itu, disebabkan PKP, sindiket berkenaan menjanjikan sebanyak 17 peratus keuntungan menyebabkan dia yakin dan teruja.

“Pada beberapa bulan pertama mereka memang membayar dividen dijanjikan menyebabkan saya teruja dan percaya bahawa pelaburan ini sah namun selepas melabur dengan jumlah lebih besar mereka tiba-tiba menghilangkan diri.

“Mereka memberi alasan ditahan di Balai Polis Ampang Jaya jadi terpaksa menutup semua rangkain internet dan sebagainya,” katanya sambil memberitahu dia mula melabur sejak Disember 2021 sehingga Ogos tahun ini.

Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim serta mangsa yang lain menunjukkan laporan polis berkaitan kes penipuan pelaburan di IPD Sentul, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 DISEMBER 2022.

Seorang lagi mangsa Tan, 44 yang juga pengusaha kopitiam, berkata, sindiket tidak membenarkan dia untuk mengeluarkan wang pelaburannya sebaliknya memaksa untuk terus melabur.

“Sebanyak RM500,000 dilaburkan dengan menggunakan duit simpanan dan duit keluarga. Mereka berkeras untuk saya terus melabur untuk mendapatkan dividen yang dijanjikan dan ketika jumlah pelaburan ditambah mereka tiba-tiba menghilangkan diri tanpa maklumat,” tegasnya.

Dalam pada itu, Presiden Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Tan Sri Musa Hassan berkata, polis perlu segera tampil dengan langkah pencegahan mengelak lebih ramai menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan.

“Mereka yang berminat untuk menyertai skim pelaburan perlu menyemak mendalam dengan Bank Negara dan PDRM mengenai kesahihan syarikat pelaburan sebelum melabur wang mereka,” tegasnya.- MalaysiaGazette