Seramai 28,108 orang layak  mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) esok.- Gambar hiasan.

ROMPIN – Seramai 28,108 orang layak  mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) esok.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, sebanyak 17 Pusat Daerah Mengundi yang mengandungi 52 tempat mengundi akan dibuka melibatkan 506 orang petugas.

“SPR telah menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya untuk kegunaan bagi proses pengundian yang akan dijalankan esok.

“Semakan ini untuk memastikan kesemua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian lengkap dan berkeadaan baik.

“Kesemua peralatan ini diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap Saluran Mengundi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

SPR berharap semua pengundi menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi.

SPR turut memaklumkan penandaan dakwat pilihan raya akan dibuat pada jari kelingking tangan kiri, hanya bagi pengundi DUN Tioman yang hadir pada hari mengundi.

Pengundi dinasihatkan supaya keluar mengundi awal dan masa yang ditentukan seperti yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.

“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi hingga 6 petang atau waktu yang telah diwartakan,” katanya.

Pengundi adalah dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan pengundi adalah dinasihatkan untuk membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my.

Selain itu boleh hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

SPR juga ingin mengingatkan para majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Dalam pada itu, SPR sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada jam 11.59 minit malam, 6 Disember 2022.

Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi.

Mana-mana pihak tidak boleh meraih undi termasuklah di luar Pusat Mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti
Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain.

SPR juga mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung. – MalaysiaGazette