SEBERANG PERAI – Pengeluar kereta mainan Hot Wheels, Mattel Inc mengumumkan kerjasama dengan Proton untuk menghasilkan produk diecast Hot Wheels jenama Proton.

Presiden dan Ketua Pegawai Komersial Mattel Inc, Steve Totzke berkata, pihaknya akan mengabadikan kereta Proton Saga edisi pertama tahun 1985 untuk dijadikan sebagai diecast Hot Wheels yang pertama.

Katanya, kerjasama itu sempena memperingati ulang tahun ke-40 syarikat tersebut di Malaysia.

Steve Totzke (kanan).

“Ini adalah perkongsian pelesenan yang menarik kerana kami bergabung untuk membangunkan kereta Hot Wheels, mengikut model Proton Saga asal iaitu model pertama keluaran Proton yang kini akan menjadi sebahagian daripada koleksi peribadi Hot Wheels.

“Perkongsian ini bertujuan mempertahankan warisan kebanggaan Mattel dan Proton untuk terus menyediakan kenderaan berkualiti tinggi kepada peminat semua peringkat umur di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-40 Mattel di Perai di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Mattel Inc turut mempamerkan prototaip diecast Proton Saga berwarna merah serta sebuah lagi model Saga berwarna putih berskala 1:64.

prototaip diecast Proton Saga berwarna merah dipamerkan pada majlis itu.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, Timbalan Setiausaha MITI, Datuk Seri Norazman Ayob.

Menurut Totzke, Proton Saga merupakan kereta pertama daripada jenama automotif Malaysia dan sehubungan itu memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara ini yang membolehkan rakyatnya memiliki kereta.

Hot Wheels model Proton Saga itu dijangka dijual seluruh dunia menjelang akhir 2023.

Chow Kon Yeow (empat dari kanan) dan Norazaman (dua dari kanan) pada majlis sambutan ulang tahun ke-40 Mattel.

Sementara itu, Eksekutif Naib Presiden Mattel Inc, Roberto Isaias turut  mengumumkan pembesaran kilang syarikat di Perai yang dijangka siap pada Januari 2023.

“Kilang pembuatan Hot Wheels ini merupakan terbesar di dunia dan MMSB juga merupakan satu-satunya pengeluar single Hot Wheels di dunia.

“Malah, kapasiti pengeluaran purata semasa kira-kira sembilan juta kereta setiap minggu.

“Pembesaran kilang itu akan menyokong pertumbuhan Hot Wheels dengan jangkaan peningkatan 20 peratus dalam kapasiti pengeluaran menjelang 2025,” katanya. – MalaysiaGazette