Lim Kit Siang.- foto FAREEZ FADZIL, 04 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada ahli Parlimen Pas akan meletakkan jawatan jika benar Perikatan Nasional (PN) mendapat dana daripada syarikat judi.

Menurut beliau, peletakan jawatan itu adalah sebagai protes  jika kejayaan pemilihan mereka sebagai wakil rakyat telah dibiayai melalui syarikat perjudian.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyiratkan yang dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas.

“Adakah mana-mana dari 46 orang ahli Parlimen Pas akan meletakkan jawatan sebagai tanda protes jika pemilihan mereka ke Parlimen dibiayai sumber berkenaan perjudian?” tanya beliau.

Sementara itu, bekas pemimpin utama DAP itu juga terkejut apabila Kerajaan PN yang turut dianggotai Pas membuat keputusan untuk meningkatkan jumlah cabutan judi.

Kit Siang berkata, beliau bersetuju dengan keputusan Perdana Menteri untuk mengurangkan semula jumlah cabutan daripada 22 kali setahun kepada lapan kali sahaja.

“Memang mengejutkan apabila kerajaan PN sebelum ini yang dipimpin oleh Bersatu dan Pas telah meningkatkan kekerapan cabutan khas, dari lapan kali setahun ke 22 kali setahun – satu keputusan yang dibuat pada penghujung tahun 2020.

“Saya mengalu-alukan keputusan Anwar  sebagai Menteri Kewangan untuk mengurangkan jumlah cabutan khas kepada lapan kali setahun ini bermula Januari depan,” katanya.

Semalam dalam sidang media Anwar membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Bagaimanapun pemimpin tertinggi Pas menafikan dakwaan itu dan meminta Anwar supaya memberikan bukti terhadap tuduhan tersebut.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, PN sedia mengambil tindakan undang-undang sekiranya Anwar gagal mengemukakan bukti terhadap tuduhan berkenaan.- MalaysiaGazette