Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengimbas kad perakam waktu sebelum memulakan tugas di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan akan meneruskan projek mega besar termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Projek Laluan Lingkaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kesemua projek berkenaan telah dimulakan dan tiada masalah untuk kita diteruskan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis ramah mesra bersama warga Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Menurut Anthony, pendekatan kerajaan sekarang ialah apa sahaja projek yang sedang dilaksanakan akan diteruskan.

Mengulas mengenai projek ECRL, beliau berkata, projek mega itu akan diteruskan dan ia tidak akan ditangguhkan lagi sama seperti yang dijanjikan ketika berkempen pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Katanya, projek itu sudah melalui banyak proses rundingan dan kajian semula termasuk perubahan laluan dan stesen.

“Kita tidak mahu sebarang bentuk penangguhan lagi ke atas projek mega ini. Pojek itu sudah pun dimulakan dan ia berjalan dengan baik walaupun ada ketikanya kita tidak berapa setuju dalam beberapa perkara dan keputusan yang dibuat,” katanya.

Untuk rekod, projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu dianggarkan menelan belanja sebanyak RM50.27 bilion membabitkan jajaran empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Projek berkenaan dijangka beroperasi pada Januari 2027 dan ia boleh menampung 5.6 juta penumpang setahun.

Ia juga boleh memuatkan 440 penumpang bagi satu perjalanan membabitkan enam gerabak dan ketika ini kemajuan keseluruhan projek ECRL berada pada sekitar 35.9 peratus. – MalaysiaGazette