KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah atas pemergian abang kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yassin.

“Salam takziah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keluarga atas kehilangan abang yang dikasihi Tan Sri Abdul Aziz Yassin.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al Fatihah,” kata Anwar di laman Facebook beliau, hari ini.

Berita pemergian bekas Ahli Parlimen Muar itu disahkan Muhyiddin dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menerusi hantaran itu, Muhyiddin turut melahirkan rasa dukacita atas pemergian abangnya itu.

“Saya dan keluarga merasa sungguh dukacita dengan pemergian kakanda saya Tan Sri Abdul Aziz Yassin.

“Saya kehilangan seorang abang yang banyak membantu kehidupan saya di zaman muda dan sentiasa memberi sokongan kepada saya selama ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, diampunkan dosa-dosanya dan ditempatkan Allahyarham dalam kalangan orang soleh,” kata beliau.

Difahamkan, Allahyarham meninggal dunia pada jam 9.50 pagi tadi dan jenazahnya dimandikan dan disolatkan di Masjid Muadz Ibn Jabbal, Kuala Lumpur, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Gombak, petang tadi.

Allahyarham Abdul Aziz merupakan Ahli Parlimen Muar selama sepenggal selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-9, pada April 1995.

Beliau juga pernah menjadi Ketua Bahagian UMNO Muar pada 1993 hingga 1995. – MalaysiaGazette