Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengimbas kad perakam waktu sebelum memulakan tugas di Kementerian Pengangkutan Malaysia, Putrajaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 06 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Anthony Loke tidak mahu menjawab pertanyaan media berhubung isu politik ketika hari pertama bertugas di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Malah Setiausaha Agung DAP itu menegaskan hanya akan menjawab persoalan berkaitan kementeriannya sahaja jika sidang media diadakan di pejabatnya.

“Pendekatan saya kalau saya berada di dalam bangunan Kementerian Pengangkutan (MOT), saya tidak akan menjawab apa-apa isu politik…saya akan fokus (kepada Kementerian Pengangkutan).

“Biarlah pihak lain nak cakap apa itu hak dia, kita telah pun diberikan mandat, kita diberikan tanggungjawab oleh Yang di-Pertuan Agong dilantik sebagai menteri. Jadi, tugas saya ialah fokus kepada tugas sebagai Menteri Pengangkutan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa wakil rakyat DAP mendapat banyak manfaat dalam Kerajaan Perpaduan dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anthony, sebarang persoalan mengenai politik hanya akan dijawab jika beliau berada dalam program parti dan bukan kementerian kerana itu merupakan pendiriannya.

“Bukan saya nak angkuh bukan saya sombong, bukan saya tak nak jawab soalan. Kalau isu politik boleh tanya saya dekat luar, kalau ada program parti boleh tanya saya isu politik, kalau program sidang media Kementerian Pengangkutan, saya hanya akan menjawab isu-isu berkenaan Kementerian Pengangkutan, itu stand (pendirian) saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memohon maaf kepada media dan berharap agar media dapat memahami pendiriannya itu.

Semalam, Abdul Hadi ketika ditemui wartawan selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul mendakwa, DAP menikmati banyak manfaat walaupun tidak ramai ahli Parlimen parti itu terpilih untuk memegang jawatan dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Katanya, jawatan yang dipegang dalam Kabinet tidak penting sebaliknya manfaat yang diperoleh wakil rakyat DAP.

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta memberi pandangan mengenai jumlah kecil keanggotaan wakil rakyat DAP dalam Kabinet sedangkan parti itu memenangi lebih banyak kerusi dalam pilihan raya umum baru-baru ini. – MalaysiaGazette