Mohamad Farouk Eshak melihat motosikal dan komponen motosikal yang dirampas Polis Ampang. Foto: IPD Ampang

KUALA LUMPUR – Dua kumpulan yang aktif mencuri motosikal tumpas dengan tertangkapnya lapan lelaki dalam serbuan berasingan Operasi (Op) Lejang di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Kedua-dua kumpulan itu yang mencuri motosikal untuk kegunaan mereka turut menjual komponen motosikal secara dalam talian .

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kedua-dua kumpulan itu menyasarkan motosikal yang diparkir kawasan flat dan kaki lima dengan mematahkan handle motosikal sebelum melarikannya.

Jelasnya, kumpulan Geng Patah diketuai suspek yang dikenali sebagai Ya’patah manakala Geng Ajib pula diketuai Muhammad Najib.

“Dalam kejayaan pertama, polis menumpaskan Geng Patah dalam operasi bermula 25 November lalu dengan menahan empat anggota geng terbabit dalam tangkapan sekitar daerah Gombak dan Sentul.

“Hasil pemeriksaan ke atas mereka di lokasi serbuan berjaya merampas tiga motosikal terdiri daripada dua jenis Honda EX5, sebuah Yamaha LC135 serta satu rangka motosikal yang mana kesemua motosikal berkenaan telah dilaporkan dicuri sebelum ini selain pelbagai komponen motosikal yang dileraikan turut disita,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, empat anggota Geng Ajaib ditahan polis 29 November lalu dalam serbuan yang dilakukan di Gombak (Selangor), Rantau dan Linggi (Negeri Sembilan).

Tambah beliau, tangkapan geng kedua itu membawa kepada rampasan tiga buah motosikal serta pelbagai komponen motosikal termasuk dua enjin yang disyaki dicuri.

Katanya, Geng Ajaib aktif mencuri motosikal di sekitar Ampang Jaya sejak awal tahun ini dan buat masa ini, empat kes terkait dengan kumpulan itu.

Jelas Mohamad Farouk, siasatan awal mendapati kedua-dua kumpulan itu dipercayai aktif mencuri motosikal di Lembah Klang sejak tahun lalu.

Tambah beliau, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah kesalahan lampau dan ujian saringan air kencing mengesahkan mereka positif dadah.

Mohamad Farouk berkata, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Tambah beliau, kini polis mempergiatkan usaha mengesan saki baki anggota kumpulan berkenaan yang masih bebas. -MalaysiaGazette