Tun Dr. Mahathir Mohamad.-Foto MOHD ADZLAN, 07 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berpegang kepada konsep ‘rule of law’ kerana melantik seseorang yang mempunyai kes mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Bahkan beliau turut melahirkan rasa janggal beliau apabila Anwar melantik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai TPM.

Ini kerana, langkah itu tidak memungkinkan usaha kerajaan untuk membersihkan negara daripada gelaja rasuah dan kleptokrat.

“Ya betul belum dihukum tetapi orang ini sudah dihadapkan ke mahkamah, kalau kita ada orang sebegini jadi pemimpin, akan rosaklah negara kita.

“Saya berpendapat kalau kita nak bersihkan negara kita tidak boleh pilih orang yang semua orang berpendapat dia seorang yang melakukan jenayah.

“Jadi saya hairan bagaimana Anwar boleh pilih orang ini walaupun dia pemimpin parti tetapi dia menghadapi tuduhan di mahkamah. Ya betul tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

“Tetapi kalau dia dihadapkan dengan satu-satu kes itu sudah menunjukkan dia (Ahmad Zahid) tidak layak jadi pemimpin,” katanya lagi.

Mahathir berkata demikan ketika diminta mengulas mengenai penubuhan Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan beberapa Ahli Parlimen lain.

Terdahulu beliau melancarkan buku 40 tahun Dasar Pandang ke Timur di ibu negara hari ini.

Ahmad Zahid dilantik sebagai TPM oleh Anwar dalam barisan 28 Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.

Untuk rekod, Zahid berdepan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, beliau akan terus menerajui parti Pejuang Tanahair (Pejuang) biarpun parti itu kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), bulan lalu.

Mahathir beralasan, Pejuang akan tetap meneruskan misinya untuk menyelamatkan Malaysia.

“Kita kalah teruk tapi kita pegang pada prinsip, kita berjuang untuk membersihkan negara dan kita akan terus berjuang untuk bersihkan negara walaupun kita ditolak oleh semua orang,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan bersara, Mahathir cuma berkata; Saya nak bersara daripada politik tapi kamu soal saya mengenai politik jadi saya kena jawab,” jawab Mahathir.

Pada PRU15 lalu, GTA yang bertanding menggunakan logo Pejuang, gagal mendapat sebarang kerusi di 125 kawasan yang ditandingi.

Mahathir turut gagal mempertahankan kerusi Langkawi apabila kalah teruk di tangan calon Perikatan Nasional (PN) yang mendapat majoriti 13,518 undi sehingga hilang wang deposit apabila hanya meraih 4,566 undi.

Anaknya, yang juga Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz serta calon GTA lain turut kalah teruk. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Tak payah nak banyak cakap lah tua nyanyuk..ko lantik Lim Guan Eng yg ada kes rasuah boleh plak…ko lupa kaa atau ko dah nyanyuk?

Comments are closed.