Siti Bainun Ahd Razali

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini dimaklumkan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali diberikan cuti sakit selama 22 hari akibat jangkitan bakteria dan akan menjalani pembedahan hempedu selepas pengambilan antibiotik selama 15 hari.

Peguam bela Siti Bainun, Nur ‘Aminahtul Mardiah Md Nor berkata, penyakit anak guamnya itu dikesan selepas prosedur perubatan diagnostik atau endoskopi dan ujian darah di hospital semalam.

“Siti Bainun telah dikecualikan kehadiran untuk prosiding hari ini dan telah keluar hospital malam tadi. Laporan berkaitan kesihatan dan cuti sakit anak guam kami juga akan dikemukakan kepada mahkamah,” kata beliau sambil menambah anak guamnya diberikan cuti sakit sehingga 22 Disember ini.

Pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas, memohon kesahihan tentang keadaan kesihatan Siti Bainun yang telah diberikan cuti sakit sehingga 19 Disember ini.

“Kami tidak faham semua terma ini, mohon supaya doktor dipanggil memberi keterangan mengenai laporan berkaitan Siti Bainun ke mahkamah,” ujarnya.

Pada 24 November lepas, Hakim Izralizam ketika membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan telah memutuskan pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Siti Bainun yang menghadapi dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella.

Siti Bainun, mengaku tidak bersalah mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. -MalaysiaGazette