Kartika Wati (tiga dari kanan) menerima Anugerah Enterprise 50 dan Anugerah Usahawan Wanita Terbaik 2022 daripada Datuk Suriani Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi & Multimedia.

KUALA LUMPUR – Syarikat tempatan pengeluar produk kesihatan berkualiti tinggi, Eskayvie menerima Anugerah Enterprise 50 (E50) bagi mengiktiraf 50 syarikat Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) yang berprestasi tinggi, kompetitif serta berdaya saing sama ada di pasaran domestik mahu pun antarabangsa.

Lebih membanggakan, Pengarah Urusan Eskayvie, Kartika Wati turut menjadi wanita pertama menerima Anugerah Usahawan Wanita Terbaik 2022 dalam majlis yang sama.

Beliau berkata, ia adalah satu penghormatan buat Eskayvie apabila berjaya meraih tempat kedua daripada 50 syarikat yang tersenarai dalam penyampaian anugerah itu.

“Anugerah ini membuktikan bahawa perjuangan dan visi Eskayvie dalam memperkasakan ekonomi dan kesihatan ummah adalah sangat signifikan dan penting di dalam menyokong pembangunan ekonomi negara lebih-lebih lagi dalam era pasca Covid

“Dua anugerah yang diperolehi ini sebenarnya membuktikan bahawa syarikat Bumiputera seperti Eskayvie yang diterajui oleh wanita mampu mencapai tahap kecemerlangan yang tinggi di kalangan syarikat tempatan.

“Ia turut mengiktiraf sumbangan Eskayvie ke arah pembangunan negara serta memberi galakan kepada kami untuk memainkan peranan lebih besar dalam ekonomi negara,” kata Kartika dalam satu kenyataan di sini.

Anugerah E50 berlangsing dalam satu majlis gilang gemilang yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre baru-baru ini.

Majlis anjuran SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia) dengan kerjasama Deloitte Malaysia serta rakan-rakan strategik seperti RHB Bank Bhd, Unifi Business, Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), UOB Malaysia, RAM Rating Services Bhd, Media Prima Omnia Sdn Bhd dan Malaysia SME.

Program anugerah tahunan ini telah diakreditasi sebagai anugerah terkemuka yang melambangkan pencapaian dalam perniagaan dan keusahawanan bagi mengiktiraf dan meraikan pencapaian cemerlang syarikat tempatan yang berdaya saing.

Manakala Anugerah Usahawan Wanita Terbaik 2022 adalah khusus untuk wanita yang julung kali diperkenalkan itu dibuat berikutan peningkatan menggalakkan penyertaan mereka ke dalam E50.

Sementara, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy berkata, sebanyak 213 penyertaan dicatatkan tahun ini, iaitu tertinggi sejak diperkenalkan pada 1997.

Pasukan pengurusan Eskayvie turut sama meraikan kejayaan menerima dua anugerah daripada SME Corp Malaysia.

Sementara itu, platform digital Eskayvie Nexus yang diperkenalkan semasa pandemik Covid-19 sebelum ini telah membantu ramai yang terkesan dengan bebanan kewangan akibat ketidakstabilan ekonomi negara dan dunia amnya.

Sehingga kini Eskayvie telah berjaya melahirkan lebih 78,000 orang usahawan Nexus di seluruh Malaysia yang mampu menjana pendapatan lima angka setiap bulan.

Selain Malaysia, Singapura dan Brunei; Eskayvie kini terus unggul dalam melebarkan jenamanya ke Asia Tenggara melalui Eskayvie Global Wellnes yang kini semakin mendapat tempat di pasaran Indonesia. – MalaysiaGazette