peruntukan ahli parlimen sistem pembayaran terbuka
Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan masyarakat perlu menggunakan Bilik Gerakan Bencana (BigBen) sebagai rujukan dalam menghadapi bencana yang kemungkinan dicetuskan oleh Monsun Timur Laut sehingga Mac 2023.

BigBen adalah inisiatif Jabatan Kerja Raya (JKR) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR).

Ia berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pengurusan maklumat kejadian bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak atau runtuh melibatkan jalan di bawah seliaan JKR.

BigBen juga akan memberikan maklumat terkini jalan-jalan alternatif yang boleh digunakan oleh pengguna jalan raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang melawat BigBen semalam berkata, maklumat yang cepat dan tepat bukan sahaja dapat membantu masyarakat tetapi juga kepada pasukan keselamatan yang bertugas di kawasan bencana.

“Dalam berhadapan dengan musim banjir yang melanda negara ketika ini, KKR sentiasa bersiap sedia dan menggandakan gerak kerja sebagai persediaan menghadapi pelbagai kemungkinan.

“KKR juga akan bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi melancarkan lagi usaha pelan mitigasi banjir dan bencana alam yang lain,” katanya.

Alexander berkata, KKR telah mengambil langkah-langkah kesiagaan dalam menghadapi Monsun Timur Laut.

Tindakan yang diambil meliputi usaha mengenalpasti lokasi laluan yang kerap berlaku bencana, menjalankan pemeriksaan jalan, cerun, longkang dan pembentung dari masa ke semasa.

Pancang-pancang kayu penunjuk aras banjir di jalan-jalan yang kerap berlaku banjir turut dipasang.

Sebanyak 2,580 pelbagai jentera dipersiapkan diseluruh Semenanjung Malaysia yang diperlukan bagi kerja-kerja kecemasan ketika berlakunya bencana dan menyediakan laluan alternatif dan papan tanda lencongan bagi jalan yang terputus hubungan.

KKR turut bersiap siaga menggerakkan aset Jambatan Panel Keluli Bermodular yang merupakan jambatan sementera yang boleh dipasang siap dalam tempoh minimum 36 jam.

Jambatan ini sebagai laluan alternatif bagi menghubungkan kawasan yang terputus akibat bencana.

Aset penting KKR ini terbukti berkesan dalam usaha mengambil tindakan pantas dalam berhadapan dengan situasi bencana alam.

Keberkesanan aset ini dapat dilihat melalui rekod pembinaan jambatan bailey di Hulu Langat ketika kawasan itu terputus hubungan akibat banjir pada tahun lalu dan berjaya dipasang kurang daripada 24 jam.

JKR mempunyai 2,180 kaki Jambatan Panel Keluli Bermodular yang disimpan di tujuh stor penyimpanan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Ia meliputi zon utara, selatan, timur dan tengah iaitu di Petaling (Selangor), Temerloh (Pahang), Kuala Pilah (Negeri Sembilan), Kinta (Perak), Johor Bahru (Johor), Alor Star (Kedah) dan di Machang (Kelantan).

Maklumat status kejadian bencana jalan raya boleh diperolehi di portal bencana JKR di www.bencanaalam.jkr.gov.my dan melalui Twitter @JKRMalaysia, @CSFJ_JKR dan Facebook Jabatan Kerja Raya Malaysia atau boleh menghubungi pada talian 03-26107727. – MalaysiaGazette