ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Negeri Johor merancang membangunkan kawasan tanaman kelapa seluas 1,325 hektar.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip, ia melibatkan unjuran pengeluaran 124,313 tan metrik menjelang tahun 2027.

“Johor merupakan pengeluar benih kelapa utama dalam negara, namun keperluan benih kelapa setahun dianggarkan sebanyak 53,000 benih kelapa. Ia tidak mencukupi kerana kemampuan pengeluaran benih kelapa yang dikeluarkan oleh Pusat Pertanian Jorak (Pusat Bekalan Benih Kelapa) ialah sekitar 28,000 benih kelapa setahun.

“Kerajaan Negeri telah merancang untuk meningkatkan lagi pengeluaran benih kelapa dengan memperkasakan lagi pusat pengeluaran benih kelapa seperti di Taman Pertanian Johor, Kong Kong, Masai, Parit Botak Batu Pahat di bawah kelolaan Jabatan Pertanian,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Datuk Jefridin Atan mengenai inisiatif kerajaan Negeri untuk membantu peladang dalam usaha meningkatkan kembali penanaman pokok kelapa yang semakin berkurangan di Johor.

Zahari yang juga ADUN Buloh Kasap berkata, keluaran tanaman kelapa di Johor adalah seluas 12,151 hektar melibatkan 9,898 pengusaha dengan hasil keluaran 118,278 tan metrik pada tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah keluaran ini adalah melebihi anggaran keperluan permintaan kelapa di negeri ini iaitu kira-kira 105,000 tan metrik setahun.- MalaysiaGazette